ASPAN ALIAS
BN sudah mula membahagi-bahagikan
Bantuan Rakyat 1Malaysia. BRIM buat kali kedua dan inilah dia senjata terakhir
UMNO serta BN untuk menentukan hidup matinya parti pemerintah selama 56 tahun
itu. Bantuan RM500 itu menjadi kebanggaan Najib dan pimpinan BN kononnya begitu
prihatin terhadap rakyat yang susah dan tidak berkemampuan. UMNO terutamanya
Najib mengesahkan persepsi ramai yang UMNO sentiasa bergantung kepada kesusahan
rakyat dengan menitiskan setitik dua air ke tekak mereka yang dahaga. Najib
kini sedang melukah di tempat yang genting dan sempit.
Persoalannya, bagaimana sebuah
negara yang telah merdeka selama 56 tahun masih berjuta-juta rakyat yang susah
dan terpaksa memberikan bantuan RM500 bila pilihanraya tiba? Kalaulah keadaan
sebegini, bagaimana pimpinan kerajaan kita begitu bangga mengaku yang negara
kita sudah menghampiri ke tahap negara maju? Bagaimanakah wang sejumput itu
boleh menukar taraf hidup rakyat keseluruhannya? Inikah dia Program
Transformasi Ekonomi Najib dan UMNO? Sampai bila budaya ini akan dilakukan oleh
kerajaan dan apakah benar bantuan ini boleh menaikkan pendapatan per kapita
rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh Najib dan UMNO nya?
Itu sebabnya rakyat lebih
berkeyakinan cara yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika mandat
itu
adalah cara yang lebih baik, malahan jauh lebih berfaedah dari apa yang
diamalkan oleh UMNO dan BN ini. Kalau ditanyakan apakah pandangan pihak
pimpinan
UMNO tentang bajet ‘alternative’, PR itu mereka sudah tentu akan
menghinanya
kerana mereka tidak mahu PR memerintah dan melaksanakan apa yang
dihajati oleh
pihak Pakatan Rakyat itu.
Saya tidak mahu menyentuh tentang
semua yang bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat setelah diizinkan Tuhan untuk
membentuk kerajaan nanti kerana masa dan ruang terlalu suntuk untuk dimuatkan
ke dalam blog ini. Tetapi biarlah saya sentuh dengan ayat dan bahasa yang mudah
bagi memudahkan rakyat yang membaca blog ini untuk memahaminya. Pihak UMNO yang
bakal menjadi pembangkang ini akan membidas apa yang saya perkatakan ini.
Mereka akan memulakan kritikannya terhadap apa yang saya perkatakan ini sebagai
tindakan yang akan membankrapkan negara dan sebagainya.
Menghapuskan tol lebuhraya yang
telah lama seperti lebuhraya Utara Selatan itu sememangnya satu niat yang baik dan
boleh terlaksana jika Pakatan ingin melakukannya setelah mendapat mandat rakyat
nanti. Lebuhraya yang berharga RM6 billion itu telah mengutip hampir RM30
billion dan tidak ada sebab untuk pihak yang mendapat konsessi itu tidak boleh
menurunkan harga tol atau pihak kerajaan memansuhkan kutipan tol itu sama sekali.
Jika janji yang satu ini sahaja terlaksana
sudah cukup untuk memberikan keringanan kepada rakyat, malahan lebih jauh berfaedah
dari rakyat beratur di tengah panas terik menerima baucer RM500 yang tidak
tentu berapa kali kita akan menerimanya. Jika kutipan tol ini dihapuskan satu
perjalanan dari Johor ke Perlis sahaja sudah menghampiri 50% dari wang
BRIM yang Najib dan UMNO bahagi-bahagikan itu. Jika Pakatan Rakyat memerintah
tidak payah berikan wang BRIM ini kerana adalah lebih baik memberikan laluan
perjalanan secara percuma kerana perjalanan kita ke utara ke selatan dan balik
itu lebih kerap dan faedah secara terus terhadap rakyat itu adalah lebih
praktikal untuk kesenangan mereka.
Jika dihapuskan PTPTN pula ia
akan lebih memberikan faedah kepada semua keluarga kerana setiap keluarga mesti
berbelanja untuk anak-anak mereka belajar sampai ke tahap menara gading.
Penghapusan PTPTN ini merupakan satu perkara yang amat menyentuh jiwa dan perasaan
semua rakyat kerana keseluruhan rakyat kita menghadapi masalah pembiayaan
pelajaran untuk anak-anak mereka. Apa yang susah sangat hendak menghapuskan
PTPTN ini seolah-olah PTPTN ini sudah wujud sejak merdeka. PTPTN ini hanya
wujud di zaman Dr Mahathir sahaja kerana dalam pentadbiran beliau wang ringgit
kerajaan digunakan untuk membina ‘empire’ perniagaan kroni dan suku-sakat
mereka sahaja. Selain daripada itu wang rakyat yang ‘bertrillion’ telah digunakan
untuk melaksanan projek yang tidak mendatangkan hasil kepada rakyat.
Sebelum pemerintahan Dr Mahathir
tidak ada pun PTPTN dan semua anak-anak yang pergi belajar ke peringkat universiti
semuanya dibiayaai oleh biasiswa yang puncanya datang dari berbagai pihak.
Sehingga pengakhir 70-an, mahasiswa masih berbincang sesama sendiri
bertanyakan biasiswa mana mereka dapat untuk masuk universiti. “You scholarship
mana?” itu merupakan soalan popular di antara mahasiswa semasa itu. Jawapannya
banyak. Ada yang kata mereka mendapat ‘state scholarship’, ada yang menjawab
‘Bank Bumi Scholarship’ atau ‘federal scholarship’ dan berbagai-bagai lagi.
Semasa itu pendapatan negara
tidaklah sebesar mana pun tetapi rakyat mendapat biasiswa dengan mudah. Tetapi
di samping menjerit dan mengaku negara kita sebuah negara yang sudah hampir
ke tahap negara maju, rakyat tidak dapat lagi biasiswa dan di sebaliknya rakyat
diberikan pinjaman PTPTN yang akhirnya telah menjerumuskan rakyat yang masih
muda terbeban dengan hutang yang bertimbun. Belum pun mendapat pekerjaan hutang
sudah menanti dan surat
saman pun mula datang berulang kali.
Kita telah mendengar cemuhan dari
pihak UMNO dan pimpinannya terhadap cadangan Pakatan Rakyat ini. Berbagai-bagai
macam jawapan dikeluarkan untuk meremehkan niat Pakatan Rakyat itu dengan
mengungut rakyat yang negara akan menjadi muflis jika Pakatan melaksanakan niat
mereka ini. Pimpinan BN selalu meletakkan kemampuan orang lain sama rendahnya
dengan tahap kemampuan pihak lain. Mereka menganggap cita-cita Pakatan Rakyat
itu tidak praktikal kerana mereka menyamakan kemampuan orang lain dengan
kemampuan yang terbatas di kalangan mereka.
Sebenarnya BN bukan tidak mampu
melakukan apa yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat itu, tetapi oleh kerana di
dalam BN itu ada elemen rasuah dan ketidakjujuran maka ia tidak mungkin dapat
dilaksanakan. Untuk melaksanakan usaha dan niat Pakatan Rakyat itu ia memerlukan
usaha gigih tanpa mempunyai unsur rasuah. Jika pemimpin mengamalkan budaya
rasuah sesiapa pun yang memimpin itu tidak akan berdaya untuk membuat keputusan
yang baik kerana ada kepentingan peribadi.
Di kesebelasan negara Scandinavia dan beberapa negara di Eropah, pelajaran
adalah percuma sedangkan negara-negara itu bukannya negara kaya yang dilimpahi
dengan penghasilan minyak dan sebagainya. Tetapi oleh kerana kerajaan mereka
merupakan kerajaan yang bersih dan tidak berbelanja wang rakyat seperti wang
datuk atau nenek mereka, maka dapatlah mereka memberikan pelajaran dan pendidikan
percuma sehingga ke peringkat yang tinggi.
Tetapi di Malaysia ini rakyat sebaliknya
terpaksa berkorban kerana karenah dan sikap pembaziran pemimpin serta keluarga
mereka menggunakan kesempatan untuk memberikan tumpuan bagi kepentingan kroni
dan keluarga mereka. Maka pemimpin-pemimpin tidak akan memberikan tumpuan untuk
memberikan hak rakyat itu. Untuk memberikan hak rakyat itu ia memerlukan
pimpinan yang serius serta kerajaan yang peka terhadap keperluan rakyat itu
dengan pelan pembangunan untuk mereka (rakyat) yang berkesan.
Kita perlu mengenepikan
pemimpin-pemimpin yang terlalu joli dengan wang rakyat tanpa rasa bersalah itu
dan kebetulannya pemimpin jenis ini semuanya dari UMNO dan MCA. Budaya
bersukaria menggunakan kemudahan dan wang rakyat ini sudah dibudayakan dan
adalah menjadi dosa yang begitu besar jika rakyat membiarkan perkara ini
berterusan berlaku.