Friday, August 21, 2015

Rakyat tiada pilihan selain turun ke jalan raya – Ambiga

Rakyat tiada pilihan selain turun ke jalan raya – Ambiga
Bekas pemimpin Bersih 2.0 mempertahankan rancangan pergerakan itu untuk meneruskan perhimpunannya di Kuala Lumpur dan bandar lain menjelang sambutan Merdeka bulan ini, dengan berkata rakyat Malaysia sudah tidak ada pilihan kecuali ke jalanan tatkala institusi dalam negara berantakan.
“Malaysia kini negara yang hanyut. Kerajaan sedang mengecewakan kita. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikompromi. Kedaulatan undang-undang sedang terhakis,” kata Datuk Ambiga Sreenevasan, menulis pendapatnya dalam The New York Times.
“Rakyat Malaysia perlu ke jalanan untuk menuntut demokrasi kita dan jiwa negara kita,” kata peguam itu, yang pernah memimpin perhimpunan berskala besar mendesak perubahan pilihan raya ketika mengetuai Bersih 2.0 di Kuala Lumpur sebelum ini.
Dalam tulisan pendapatnya, Ambina menyenaraikan siri cubaan untuk memperkecilkan kebebasan SPR, dengan terbaru ialah pelaksanaan persempadanan semula di Sarawak yang kontroversi, di mana negeri itu akan menjalani pilihan raya negeri tidak lama lagi.
“Sekali lagi, rakyat Malaysia berdepan risiko ditipu dalam pilihan raya,” katanya, menambah kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Sarawak akan jadi perangsang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi perhatian umum dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan berbilion ringgit masuk ke akaun bank peribadinya.
Seperti sebelum ini, pihak berkuasa mendesak perhimpunan itu berpindah ke stadium, sementara penganjur enggan berbuat demikian.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah sebaliknya berkata perhimpunan itu mampu menjadi pengukur kepada sokongan rakyat terhadap Najib.
Perhimpunan Bersih kali ini, yang keempat sejak 2007, akan diadakan selama 2 hari, dengan peserta merancang untuk berkhemah di kawasan berhampiran Dataran Merdeka, yang dimaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditutup kepada umum bagi menjalankan latihan dan persediaan sambutan Hari Merdeka.
Sementara itu, Ambiga mendesak pemimpin BN untuk menyertai perhimpunan itu, dengan berkata ia boleh menjalinkan hubungan antara mereka dengan masyarakat umum.
“Anda tidak tahu bagaimana rasanya berjalan bersama rakyat,” kata aktivis peguam itu, yang kini mengetuai kumpulan hak asasi manusia, Hakam.
“Ia ada kuasa. Anda patut datang, walau hanya untuk berhubung dengan kami dan lihat bagaimana kami rasa. Anda mungkin tidak setuju dengan semua permintaan kami tapi anda akan tunjukkan walau apa pun, anda hormat hak kami untuk berkumpul dan bercakap,” katanya.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers