13 February 2026
Mengikut perancangan asal, Hamzah Zainuddin dijangka mengumumkan pendirian dan hala tuju masa depan politiknya dalam satu perjumpaan bersama para penyokongnya pada 15 Februari ini.
Perjumpaan tersebut diadakan sebagai menjawab pelbagai spekulasi berkaitan diirinya - antaranya kemungkinan dipecat serta arah tujunya setelah banyak negeri dan bahagian yang mencadangkannya mengambil alih teraju kepimpinan Bersatu.
Namun, beberapa hari lalu jadual perjumpaan tersebut telah diawalkan kepada esok, 14 Februari (Sabtu).
Perjumpaan akan berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Kuala Lumpur.
Program akan bermula pada jam 3.00 petang.
Cumanya sekarang, perjumpaan esok berlangsung dalam keadaan Hamzah sudah dipecat daripada Bersatu, bukan lagi sebagai Timbalan Presiden parti itu.
Pemecatannya diumumkan dalam satu surat oleh Lembaga Disiplin bertarikh 13 Februari dan ia berkuatkuasa serta-merta.
Hamzah dipecat kerana didapati melanggar disiplin parti, walaupun beliau tidak hadir pendengaran Lembaga Disiplin yang bersidang pada 12 Februari baru-baru ini.
Turut sama diipecat ialah Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan juga Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Tarikh pemecatan Kapten Azahari dan Fathul Huzir juga berkuatkuasa hari ini (13 Februari).
Dalam hal ini, ternampak seolah-olah tarikh pemecatan Hamzah sengaja diawalkan sebelum perjumpaan beliau dengan penyokongnya yang dijadual berlangsung petang esok.
Ia dipercayai untuk membuatkan Hamzah tiada lagi kedudukan dalam parti ketika berjumpa dengan para penyokongnya di Rumah Kelab PAUM itu.
Sebagaimana dilaporkan oleh pelbagai media, beberapa pemimpin peringkat bahagian dan negeri Bersatu telah tampil dengan kenyataan menggesa Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden Bersatu dan mahukan Hamzah mengambil alih teraju kepimpinan parti.
Kemuncak sokongan itu ialah bila mana 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani ikrar sokongan terhadap kenyataan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee yang dua hari lalu mendesak Hamzah mengambil alih teraju kepimpinan parti daripada Muhyiddin.
Jumlah Ahli Parlimen Bersatu ketika ini ialah 25 orang setelah ditolak enam orang yang beralih menyokong Anwar Ibrahim.
Ini bermakna, majoriti Ahli-Ahli Parlimen adalah bersama Hamzah berbanding menyokong Muhyiddin.
Dalam perjumpaan petang esok, selain ia dihadiri oleh Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli MPT Bersatu yang memihak kepada Hamzah, sejumlah besar Adun-Adun Bersatu daripada seluruh negara juga turut dijangka hadir.
Anggaran Ketua-Ketua Bahagian Bersatu yang dijangka hadir pula adalah sekitar 120 orang.
Termasuk para penyokong dan mereka yang bersimpati kepada Ahli Parlimen Larut itu, lebih-lebih lagi setelah beliau dipecat, kehadiran dalam perjumpaan esok diramalkan menjangkau lebih 2,000 orang.
Sumber lain pula memberitahu, sejumlah pemimpin PAS yang bersimpati terhadap Ketua Pembangkang itu juga dipercayai akan hadir dalam perjumpaan esok sebagai tanda sokongan dan solidariti.
Walaupun pada awalnya perjumpaan esok hanyalah pertemuan biasa saja, tetapi setelah Hamzah dipecat, dijangkakan kehadiran jauh lebih melimpah dan menjadikan perjumpaan petang esok sesuatu yang lebih menggegarkan. -!ShahbudinHusin 13Februari2016.
https://shahbudindotcom.net/2026/02/setelah-hamzah-dipecat-perjumpaan-esok-dijangka-lebih-mengggegar/
No comments:
Post a Comment