Saya pernah mengajar di sekolah kebangsaan. Murid-murid datang daripada pelbagai latar bangsa dan agama Melayu, Cina dan India.
Dalam suasana sedemikian, apabila seorang murid bukan Islam menyebut Alhamdulillah dengan penuh adab, hati kami sebagai guru Pendidikan Islam menjadi lapang dan besar. Saya tak ajarnya, tak paksa. Tapi murid ini menyebut kerana sering mendengar.
Peristiwa itu tidak pernah dilihat sebagai ancaman kepada akidah, sebaliknya ditanggapi sebagai satu benih kebaikan. Kami mendoakan, mudah-mudahan suatu hari nanti Allah mengurniakan taufik dan hidayah kepadanya.
Begitulah wajah pendidikan dan dakwah yang hidup mendidik dengan hikmah, bukan membina tembok syak wasangka.
Namun keadaan tersebut tidak tercermin dalam sebahagian wacana politik hari ini.
Apabila Saudara Nga Kor Ming menyebut Alhamdulillah dan beberapa kalimah pujian kepada Allah di Parlimen dengan sopan, tertib dan penuh hormat, terdapat suara yang segera melabelkan perbuatan tersebut sebagai penghinaan terhadap Islam.
Persoalan yang wajar ditanya di manakah letaknya penghinaan itu? Adakah pada lafaz kalimah tersebut, atau pada prasangka yang dibina sendiri?
Lebih menghairankan, pihak yang lantang mempersoalkan lafaz pujian kepada Allah itu pula kelihatan berdiam diri apabila terdapat penyokong sendiri mengeluarkan kenyataan berunsur mimpi bertemu Rasulullah dalam konteks politik.
Kenyataan sebegitu tidak pula dianggap mencemar kesucian agama. Di sinilah ketidakseimbangan mula terserlah dan sukar dipertahankan secara berprinsip.
Teguran Ahli Parlimen Rantau Panjang terhadap YB Nga Kor Ming atas isu tersebut, pada hemat saya, tidak mematangkan wacana Islam dalam sebuah negara majmuk.
Sebaliknya, tindakan berkenaan memberi gambaran bahawa Islam sedang dipersempitkan menjadi alat sempadan politik menentukan siapa yang boleh menyebut kalimah tertentu dan siapa yang mesti dicurigai.
Islam tidak menjadi lemah kerana orang bukan Islam menyebut Alhamdulillah. Islam menjadi sempit apabila penganutnya sendiri cepat berasa terancam tanpa alasan yang jelas dan munasabah.
Jika di sekolah, para pendidik mampu meraikan adab serta rasa hormat murid bukan Islam terhadap kalimah-kalimah suci, mengapa di Parlimen pendekatan yang diambil begitu berbeza?
Mengapakah perbuatan yang sama dipersembahkan sebagai isu penghinaan? Apakah ukuran iman kini ditentukan oleh kedudukan politik dan sokongan parti, bukan lagi oleh akhlak, hikmah dan keadilan?
Sebagai ahli politik, lebih-lebih lagi yang bercakap atas nama agama, tanggungjawab utama bukan sekadar menegur, tetapi mendidik. Peranan kepimpinan bukan hanya mempertahankan simbol, tetapi menjaga kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej.
Parlimen bukan gelanggang untuk menunjukkan siapa paling cepat tersinggung, sebaliknya medan untuk memperlihatkan kematangan kepimpinan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Semoga sesiapa sahaja yang menuturkan pujian kepada Allah dengan penuh keikhlasan sama ada hari ini beragama Islam atau belum suatu hari nanti dianugerahkan nikmat iman yang sebenar.
Semoga para pemimpin pula belajar membezakan antara ancaman terhadap agama dengan peluang untuk menampilkan keindahan agama itu sendiri.
Mohd Fadhli Othman
Mantan GPI sekolah rendah

No comments:
Post a Comment