TIDAK ADA KESEPAKATAN DALAM PN .

 



KENAPA TIDAK HAMZAH SAJA DIJADIKAN PENGERUSI PN?


24 January 2026


Sudah hampir sebulan isu pengganti Pengerusi PN  telah berlarutan dan masih tidak ditemui jalan penyelesaian.


Sebagai gabungan yang mendapat sokongan lebih 70 peratus pengundi Melayu dan memiliki jumlah Ahli Parlimen Melayu paling ramai serta dipercayai sebagai “kerajaan menanti”, kebuntuan PN melantik pengganti Muhyiddin Yassin itu tentu saja meresahkan banyak pihak.


Makin lama berlarutan, ia tentu saja akan menyebabkan ramai hilang keyakinan kepada PN.


Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari 2026 dan keputusan itu kemudiannya diterima dan dihormati oleh mesyuarat Bersatu yang diadakan pada 12 Januari.


Haji Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam suratnya sebelum itu pada 10 Januari pula mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas sumbangannya selaku Pengerusi PN sebelum ini.


Ini bermakna, meskipun kebelakangan ini Muhyiddin dilihat semacam ingin dirinya dilantik semula mengetuai PN, kebarangkalian itu adalah sesuatu yang tidak cantik.


Hakikatnya, perletakan jawatan beliu telah dihormati dan sumbangannya selama ini juga diucapkan terima kasih.


Apabila Muhyiddin menyebut Pengerusi PN sepatutnya adalah ketua parti, dalam keadaan beliau mengetahui Haji Hadi enggan memikul tanggungjawab itu atas faktor kesihatan dan Presiden Gerakan dan MIPP pula tidak mungkin dilantik mengetuai PN, ramai yang melihat ia sebagai gambaran beliaulah yang layak untuk jawatan itu.


Namun demikian, seorang pemimpin Bersatu menyatakan tiada ketetapan Pengerusi PN mesti ketua parti.


Semalam juga, Haji Hadi mengatakan PAS tetap ingin mengetuai PN kerana itulah ketetapan Muktamar Agung parti itu pada tahun lepas.


Soalnya siapa?


Berikutan Haji Hadi sendiri menolak, adakah bakal Pengerusi PN daripada parti itu adalah Tuan Ibrahim Tuan Man atau Ahmad Samsuri Mokhtar sebagaimana dinamakan oleh pihak-pihak tertentu dalam PAS sendiri?


Persoalannya, kenapa tiada kata sepakat untuk menamakan satu calon saja?


Tidak mungkinkah nanti, jika salah seorang daripadanya dinamakan untuk mengetuai PN, sosek-sosek tidak setuju itu terus berlarutan?


Lebih parah ialah belum pun Ahmad Samsuri dilantik, tetapi menantu Haji Hadi sendiri yang menolaknya.


Nantinya kalau Tuan Ibrahim dilantik, tak mustahil muncul pula kelompok lain dalam PAS sendiri yang mempertikaikannya.


Akhirnya ia tidak selesai-selesai juga.


Sebagai jalan tengah, dalam keadaan PAS sendiri masih buntu mencari pemimpinnya sendiri untuk mengetuai PN, apa kata jika parti itu menamakan Hamzah Zainuddin sebagai calonnya.


Sebagaimana PAS sebelum ini telah mencadangkan nama Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, pencalonan parti itu menamakan Hamzah sebagai Pengerusi PN lebih mungkin untuk dipersetujui majoriti daripada dibantah.


Selain jika PAS yang mencadangkan nama Hamzah yang bererti parti itu bersetuju, Gerakan dan MIPP pasti tiada masalah dengan pencalonan Ahli Parlimen Larut itu.


Yang mungkin tidak setuju hanyalah kem Muhyiddin dan Azmin Ali dalam Bersatu, tetapi khabarnya, sokongan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu lebih ramai yang memihak kepada Hamzah.


Akhirnya, sebagaimana amalan demokrasi, majoriti akan mengatasi minoriti.


Dengan Hamzah yang sekarang merupakan Ketua Pembangkang dinamakan sebagai Pengerusi PN, beliau juga dengan itu boleh terus dinamakan sebagai calon Perdana Menteri kerana dalam sistem Westminster, Ketua Pembangkang adalah gambaran Perdana Menteri akan datang.


Ertinya, segala isu yang membelenggu PN dalam menghadapi PRU16 selesai dengan “sekali harung” dan PN tak perlu kalut-kalut lagi.


Amacam? – ShahbudinHusin 24Januari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/01/kenapa-tidak-hamzah-saja-dijadikan-pengerusi-pn/




No comments: