Norman Daud
Ramai yang saya perasan cakap RM mengukuh pun rakyat tak rasa apa, harga barang tetap mahal. Ni lah naratif yang digunakan oleh pembangkang dan juga walajib dalam nak mengkodem kerajaan.
Kita kena faham kenapa pengukuhan RM ini sangat penting.
Pertama, pengukuhan ringgit membantu mengekang inflasi import, iaitu komponen inflasi yang paling sukar dikawal oleh kerajaan. Malaysia masih mengimport sebahagian besar makanan, baja, ubat-ubatan dan input industri. Apabila ringgit lemah, kenaikan harga global terus dipindahkan kepada pengguna tempatan. Ringgit yang lebih kukuh bertindak sebagai “penampan”, memperlahankan pemindahan kos ini ke dalam ekonomi domestik.
Kedua, hutang luar negara jadi lebih ringan. Kerajaan dan syarikat yang ada pinjaman dalam USD atau mata wang asing bayar balik dengan kos lebih rendah. Ini kurangkan tekanan fiskal dan risiko kewangan.
Ketiga, pelabur lebih yakin. Ringgit kukuh selalunya datang bersama aliran masuk pelaburan, kestabilan dasar dan disiplin ekonomi. Ini penting untuk bina keyakinan jangka sederhana dan panjang.
Keempat, kos operasi industri turun. Banyak sektor pembuatan bergantung kepada bahan mentah dan mesin import. Bila kos input turun, margin boleh bertambah atau harga boleh distabilkan.
Namun, di sinilah kekeliruan besar yang sering dimanipulasi.
Harga barang di peringkat runcit tidak bergerak seiring dan serentak dengan pergerakan mata wang. Harga hari ini dipengaruhi oleh kontrak lama, struktur kos domestik, sewaan, logistik, gaji dan hutang perniagaan yang terbentuk semasa tempoh inflasi tinggi sebelum ini. Dalam literatur ekonomi, fenomena ini dikenali sebagai price stickiness harga melekat ke atas dan lambat turun walaupun kos input mula reda.
Oleh sebab itu, hujah “ringgit naik tapi harga ayam gepuk masih RM20” adalah hujah yang salah dari segi kerangka analisis. Ia menyamakan pembolehubah makro jangka sederhana dengan realiti mikro jangka pendek. Dua perkara ini tidak bergerak pada kelajuan yang sama.
Lebih penting, pengukuhan ringgit memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurus pembetulan struktur tanpa mencetuskan kejutan ekonomi.
Dengan tekanan import dan hutang luar yang berkurang, kerajaan mempunyai lebih fleksibiliti fiskal untuk menumpukan kepada isu sebenar kos sara hidup iaitu produktiviti rendah, kebergantungan kepada buruh murah, sewaan tidak terkawal, dan rantaian bekalan domestik yang tidak cekap.
Naratif pembangkang dan walajib sengaja memadam konteks ini. Mereka mahu rakyat percaya bahawa satu-satunya ukuran kejayaan ekonomi ialah harga turun serta-merta. Hakikatnya, ekonomi yang sihat bergerak secara berperingkat: kestabilan mata wang → penurunan tekanan kos → pelaburan dan produktiviti → barulah pendapatan sebenar dan harga menjadi lebih seimbang.
Kesimpulannya, pengukuhan ringgit bukan penawar segera, tetapi ia adalah prasyarat kritikal. Tanpa ringgit yang stabil dan dipercayai pasaran, sebarang usaha menurunkan kos sara hidup hanya bergantung kepada subsidi sementara dan kawalan harga, langkah yang terbukti tidak mampan dan akhirnya memakan rakyat semula.
Menafikan kepentingan ringgit yang mengukuh bukan sahaja tidak ilmiah, malah berbahaya, kerana ia menggalakkan penilaian ekonomi berasaskan emosi jangka pendek, bukan asas jangka panjang.
Dalam ekonomi, asas sentiasa mendahului hasil.
Dan hari ini, asas itu sedang dipulihkan oleh kerajaan pimpinan DS Anwar Ibrahim .

No comments:
Post a Comment