BIAR BETUL DR AKMAL NI? KENAPA SERANG DAP, SEDANGKAN LAWAN UMNO KETIKA PRU ADALAH PN?
16 January 2026
Berikutan tindakan Dr Akmal Saleh meletakkan jawatan Exco Melaka untuk memudahkannya menentang DAP habis-habisan, Ketua Pemuda DAP dan netizen yang sealiran punya pemikiran sealiran secara senada mengecam Ketua Pemuda UMNO itu.
Mereka mengatakan, tindakan pemimpin UMNO itu mahu menentang DAP adalah kerja membuang masa dan tidak menguntungkan UMNO kerana musuh sebenar parti itu adalah PN.
Dikatakan lagi bahawa UMNO dan DAP selain tidak bertembung di kerusi yang sama, kehilangan banyak kerusi UMNO dalam pilihan raya juga ialah kepada PN.
“Lawan DAP? Padahal PN yang rampas kerusi kau.
“Bebal tak dapat diajar,” kata Ketua Pemuda DAP sambil meletakkan dengan tanda pagar “cakap tak serupa bikin” pada hantaran di media sosialnya.
Beberapa netizen turut melontarkan komen yang hampir sama maksudnya di beberapa portal yang menyiarkan berita perletakan jawatan Dr Akmal sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Sekali fikir memang ternampak logik semua hujah itu dan Dr Akmal semacam tidak patut menjadikan DAP sebagai musuh.
Dalam erti kata lain, daripada dijadikan musuh, lebih baik UMNO menjadikan DAP sebagai kawan.
Meskipun benar bahawa UMNO dan DAP tidak bertembung di kerusi yang sama ketika pilihan raya, tetapi seruan Dr Akmal dalam menentang DAP ialah untuk menyatukan pengundi-pengundi Melayu.
Apabila Melayu dapat disatukan, misalnya dengan UMNO dan Pas setuju untuk bekerjasama, natijah akhirnya ialah kuasa Melayu itu akan menjadi dominan.
Berbanding sekarang, parti-parti Melayu di negara ini berpecah serta berbalah sesama sendiri dan ia akhirnya menguntungkan DAP, walaupun mereka hanya ada 40 kerusi Parlimen saja.
Dalam keadaan suara Melayu berpecah dan bersepah-sepah itulah yang menjadikan DAP terlihat begitu berkuasa.
Tetapi, melalui penyatuan dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas, semua kerusi-kerusi Melayu sangat berpotensi untuk dimenangi dan disatukan di bawah satu suara yang sama.
Malah dengan kekuatan penyatuan Melayu itu, parti bukan Melayu yang sederhana dan tidak ekstrem yang sedia bekerjasama dengan kedua-dua parti itu turut berpeluang cerah memperolehi kemenangan.
Realitinya, apabila Melayu bersatu di bawah satu hati, bukan saja parti Melayu akan beroleh kemenangan, tetapi juga parti-parti bukan Melayu yang bekerjasamanya turut mendapat rahmat.
Ia seperti ketika UMNO disokong kuat oleh majoriti pengundi Melayu semasa era BN berkuasa sebelum ini, parti bukan Melayu seperti MCA, MIC dan Gerakan lebih mudah beroleh kemenangan.
Pada waktu itu, DAP hanya mampu menang beberapa kerusi saja.
Begitu juga dengan sekarang apabila Dr Akmal menggesa agar UMNO dan PAS bekerjasama, tujuannya tidak lain ialah agar kuasa Melayu dapat dikembalikan dengan kedua-dua parti itu mampu memenangi sejumlah besar kerusi-kerusi yang dihuni majoriti Melayu.
Dalam waktu yang sama, melalui penyatuan Melayu itu, ia turut berupaya mengurangkan jumlah kemenangan DAP di kerusi campuran dan di kerusi mereka yang dimenangi oleh pemimpinnya yang berbangsa Melayu.
Pendeknya, jika sebelum ini DAP mampu menang 40 kerusi Parlimen, melalui penyatuan Melayu UMNO dan PAS, jumlah kerusi kemenangan parti itu boleh dikurangkan sehingga kepada 25 kerusi.
Hanya kerusi-kerusi totok Cina seperti Bukit Bintang, Cheras, Kepong, Seputeh, Seremban, Kota Melaka dan seumpamanya saja yang akan kekal dalam milikan DAP.
Ringkas cerita, apa yang dilakukan Dr Akmal dengan cuba menyatukan UMNO dan PAS, sambil ingin melawan DAP habis-habisan adalah strategi yang betul demi mengembalikan kuasa Melayu jadi dominan dalam ertikata yang sebenar mentadbir negara ini.
Apakah Melayu tidak mahu jadi dominan di negara sendiri? – ShahbudinHusin 16Januari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/01/biar-betul-dr-akmal-ni-kenapa-serang-dap-sedangkan-lawan-umno-ketika-pru-adalah-pn/
No comments:
Post a Comment