DI SABAH HANYA 20%, DI SEMENANJUNG TINGGAL 28%, APA PILIHAN UMNO?




17 January 2026


Di sebalik gegak gempita dan meriahnya Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung di WTCKL,  terdapat dua perkara menyedihkan telah didedahkan semalam.


Pertama, pendedahan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa 80 peratus ahli UMNO Sabah tidak mengundi BN pada PRN negeri yang lalu.


Menurut beliau, UMNO memasuki gelanggang PRN Sabah dengan penuh keyakinan kerana memiliki ahli berjumlah seramai 622,637 orang.


“Tetapi undi yang diterima parti itu di PRN Sabah hanyalah 144,584 undi.


“Ini bermakna sekitar 80 peratus ahli UMNO di Sabah sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi parti lain.


“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” kata beliau ketika berucap di perhimpunan tersebut.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar keputusan itu dijadikan “wake up call” buat UMNO.


Kedua, kenyataan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa, sokongan orang Melayu kepada UMNO ketika ini hanya sekitar 28 peratus sahaja.


Lantaran itu, beliau menyeru agar UMNO perlu segera bangkit dan keluar dari nostalgia kegemilangan lama dan menerima hakikat majoriti orang Melayu sudah tidak lagi bersama parti itu.


“Pagi ini (semalam), saya menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Dewan Merdeka di mana dewan penuh dengan semuanya berbaju merah memperlihatkan semangat juang yang tinggi oleh setiap perwakilan dari seluruh negara.


“Dalam keadaaan hari ini, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam,” ujarnya lagi.


Baik sama ada mengenai pendedahan Dr Asyraf Wajdi mahu pun dakwaan Ismail Sabri, semuanya berlaku selepas tiga lebih tiga tahun UMNO berada dalam kerajaan perpaduan yang diterajui PH.


Kenapa sokongan orang Melayu dan ahli UMNO sendiri kepada parti itu semakin berkurangan?


Tidakkah keberadaan UMNO dalam kerajaan sepatutnya mampu menambahkan lagi sokongan diterimanya?


Dalam PRU16 akan datang, apakah kemerosotan sokongan itu boleh diperbaiki atau makin bertambah parah lagi?


Dua soalan patut difikirkan UMNO dalam hal ini.


Pertama, apakah dengan kemerotan yang nyata itu UMNO masih mahu kekal lagi dalam kerajaan perpaduan sehingga PRU16 akan datang?


Kedua, adakah tindakan UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga selesai PRU16 diadakan terlebih dahulu suatu keputusan yang betul? – ShahbudinHusin 17Januari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/01/di-sabah-20-di-semenanjung-28-apa-pilihan-umno/



No comments: