DALAM SEJARAH PAS TAK PERNAH CALONKAN AHLI MEREKA JADI PM. PAS HANYA TUMPANG TUAH ORANG LAIN. KOMANG.

 


Fathi Aris Omar



Saya tulis ini pagi Khamis 👇 Gambar ini Jumaat






Dalam sejarah gabungan besar, tidak pernah lagi PAS menaikkan tokohnya sendiri sebagai calon perdana menteri untuk berdepan PRU. 


PAS lebih rela berada bawah seseorang perdana menteri daripada parti lain, seperti dalam BN atau PN, atau mencalonkan tokoh parti sekutu. 


Jika gabungan itu difikir berpotensi, seperti zaman APU pada PRU 1990 atau BA pada 1999 dan 2008, calonnya Tengku Razaleigh Hamzah atau DS Anwar Ibrahim. Pada 2022, calonnya TS Muhyiddin Yassin. 


Tetapi, entah kenapa, PAS macam tidak bersetuju Bersatu mencadangkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN untuk PRU akan datang. Tetapi tidak menamakan calonnya atau tokoh lain.


Ketika PRU 2013, apabila tidak sebulu dengan Anwar, TS Abdul Hadi Awang mencadangkan nama Tengku Razaleigh sekali lagi. Hanya beliau berfikir begitu walau PR masih memilih Anwar. 


Jika PAS mengambil alih teraju PN kali ini, setelah Muhyiddin berundur pada 1 Januari lalu, apakah ertinya calon PM bagi PN datangnya daripada PAS? 


Jika berlaku begitu, ia menunjukkan keyakinan luar biasa. Katak PAS sudah mahu keluar dari bawah tempurung keselesaannya.


Tidak hairan idea ini muncul bawah kepemimpinan Abdul Hadi. Beliau memang seorang tokoh ulama yang hebat mengatur. Lihatlah hasil kejayaannya.


Walau ramai pemimpin mahu bersama MN (Umno), beliau memilih PN (Bersatu) sehingga meraih kejayaan besar: 43 kerusi parlimen dan dua lagi kerajaan negeri, termasuk Perlis. 


Kelicikannya bermain mata dengan DS Najib Razak, 1MDB dan strategi tiga penjuru melalui GS pada PRU 2018 akhirnya tertebus juga melalui Langkah Tebuk Atap 2020 dan PRU 2022. 


Hingga pejuang tulen MN dalam PAS terpaksa minta maaf padanya dan mengakui memang tok guru itu pakar strategi terhebat PAS yang tidak pernah dicapai presiden-presiden sebelum ini. 


Tetapi sepandai-pandai tupai menebuk, akhirnya terjatuh juga di Perlis! Bersatu yang dipenuhi kaum pembelot (sejak menang melalui PH pada 2018) dituduh pengkhianat pula. 


Tegas betul nadanya, walhal Abdul Hadi bukan tidak tahu pengkhianatan bersama Bersatu itulah yang membawanya ke Putrajaya selama 33 bulan. 


Dari muktamar pada September 2025 hingga ke krisis MB Perlis bulan lepas, PAS kelihatan cukup ghairah mahu menguasai PN. Apakah benar PAS dan PN cukup bersedia dengan segala risikonya? 


Risiko terbesar yang dihadapi gabungan itu:


(1) Apakah pemimpin PAS boleh bantu lonjakkan lagi PN untuk cabar pakatan PH-BN atau persaingan tiga penjuru dengan PH dan BN?


(2) Siapakah pemimpin PAS yang mampu teraju PN jika bukan Abdul Hadi sendiri?


(3) Apakah dengan menguasai PN, dengan automatik PAS akan kemuka calon PM-nya pula? Siapa orang itu kalau bukan Abdul Hadi sendiri? Balik semula kepada persoalan (1) dan (2). 


Sebab itu saya sebut dari awal, keghairahan PAS kali ini luar biasa, mencipta rekod baru, melanggar tradisi parti itu sejak puluhan tahun. 


Tidak salah, mesti tiba saatnya PAS keluar dari bawah tempurung keselesaannya. 


(4) Tetapi bagaimana pula sikap Bersatu? Apakah ia akan tunduk begitu sahaja ikut telunjuk PAS? Misalnya soal agihan kerusi menjelang PRU nanti dan juga agihan jawatan-jawatan. 


(5) Atau, Bersatu mahu berdiri di luar PN pula seperti PAS membentuk GS pada 2018? 


Bersatu ada lebih daya tarikan jika bersama parti-parti bukan Melayu dan juga kekalkan pangkalan sokongannya sejak 2018 dan 2022. 


Sebab tidak dapat dibayangkan parti-parti bukan Melayu boleh selesa dengan PAS jika ia menguasai PN. Suara-suara itu makin kuat berdengung apabila kian jelas PAS mahu menggantikan Muhyiddin. 


(6) Ada lagi pilihan lain, kekalkan Muhyiddin sebagai pengerusi PN dan cadangkan beliau "poster boy" PN. Semata-mata untuk beri imej PN masih Bulat Bersatu dalam satu Gerakan.


Memanglah agak memalukan jika PAS pilih untuk kekalkan Muhyiddin setelah terlontar kata "berambus". Tetapi apa lagi pilihan yang PAS, Bersatu dan PN ada?  


Katakanlah khidmat Muhyiddin masih diperlukan, apakah ini bermakna PAS sudah buat kesilapan besar dalam krisis Perlis sehingga Muhyiddin merajuk dan letak jawatan?


Apakah ini bermakna PAS terpaksa telan ludah sendiri setelah tidak berjaya mengendali krisis sekecil negeri lapan orang penduduk? Apakah ini bermakna PAS gagal berurusan dengan istana?


Apakah ini bermakna tidak perlu pecat tiga wakil rakyat PAS itu? Apakah ini bermakna Abdul Hadi perlu menarik perkataan "khianat" kepada Bersatu dan Muhyiddin menarik balik peletakan jawatan? 


Macam-macamlah tanggapan jika Muhyiddin dikekalkan sebagai pengerusi PN. Seperti macam-macam orang cakap jika calon pengerusi PN datang daripada PAS.


.



No comments: