BAHAYA MEMBACA KITAB YANG MENYESATKAN.



Al Afshin


Isma'il Adham ialah seorang yang sangat bijak dan pakar dalam matematik. Beliau mendapat Phd daripada Universiti Moscow pada tahun 1931 ketika berumur 20 tahun. 



Walaupun dengan segala kelebihan tersebut, pengakhiran hidupnya amat buruk; baik di dunia, lebih-lebih lagi akhirat. 


Beliau terpengaruh dengan ideologi komunis setelah banyak membaca kitab komunis sehingga idea sesat itu melekat ke dalam minda dan hatinya. Menurut  Isma'il Adham sendiri, beliau sudah membaca buku-buku komunis ketika umurnya belum lagi mencecah 13 tahun.


Seterusnya, untuk memperjuangkan pegangan atheis yang dianutinya, Isma'il Adham menulis kitab yang bertajuk "Kenapa aku menjadi atheis?" (لماذا أنا ملحد؟). Kitab itu telah dijawab oleh Ahmad Zaki Abu Syadi dengan kitabnya yang bertajuk "Kenapa aku beriman?" (لماذا أنا مؤمن), dan Muhammad Farid Wajdi dengan tulisannya "Kenapa dia atheis?" (لماذا هو ملحد؟). 


Di antara pengakuan Isma'il Idham mengenai pegangannya: “Aku seorang mulhid, dan aku gembira serta tenang dengan 'kemulhidan' ini. Dari sudut ini, tiada beza di antara kegembiraanku dengan kegembiraan orang yang beriman dengan iman mereka.”


Akan tetapi, nampaknya 'kegembiraan' tersebut tidak berkekalan. Pada petang Selasa 23 Januari 1940, pihak berkuasa telah menemui mayat Isma'il Adham di tepi pantai di Iskandariah, Mesir. Di dalam bajunya, ditemui nota yang berisi pengakuan bunuh diri akibat kebenciannya kepada kehidupan ini. Tidak cukup dengan itu, Isma'il turut berwasiat agar mayatnya tidak dikebumikan di perkuburan kaum Muslimin, sebaliknya dibakar. Ketika itu, umurnya 29 tahun..sangat muda.


Kata Ahmad Hasan al-Zayyat: “Dia (Isma'il Adham) seorang yang sangat bijak dan luas pengetahuannya. Bahkan, dia mampu untuk bertutur dalam 6 bahasa..”


Namun, apa manfaatnya kecerdikan itu tanpa iman? Kata Imam al-Zahabi:


”لعن الله الذكاء بلا إيمان، ورضي الله عن البلادة مع التقوى.“


 “Allah melaknat  kecerdikan tanpa Iman, dan Allah meredhai kebodohan yang diiringi taqwa.”  


Kisah hampir sama berlaku kepada 'Abdullah al-Qasimi; seorang ilmuwan yang genius dari 'Arab Sa'udi, akan tetapi berubah menjadi murtad. 


Sheikh 'Abdul 'Aziz al-Subayyil telah bercerita: “Seorang lelaki dari Najd telah bertemu dengan 'Abdullah al-Qasimi di Lubnan. Lelaki itu merenung al-Qasimi dengan tajam. 

Maka al-Qasimi bertanya: “Kenapa memandangku begitu?”


Lelaki itu berkata: “Aku kasihan kepadamu (kerana murtad). Dan sungguh sayang sekali kepada ilmu yang ada padamu.” 


Mendengar kata-kata itu, al-Qasimi pun menangis. Kemudian dia berkata: “Aku berpesan kepada kalian, janganlah sekali-kali membaca kitab-kitab yang menyeleweng.” 


'Abdullah al-Qasimi terus hidup dalam kekafirannya hingga mati pada tahun 1996 di Kaherah. 


📝| Mujahid