Tuesday, July 3, 2018

Najib akhirnya ditahan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah ditahan di kediamannya, di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara lapor Malaysiakini.

Mohd Shukri juga dilapor akan mengeluarkan kenyataan media sebentar lagi.

Terbaru, satu kenyataan media yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas 1MDB telah mengesahkan penahanan itu dibuat pada jam 2.35 petang tadi berhubung skandal SRC International Sdn Bhd.

Siasatan penuh terhadap skandal 1MDB ini juga merupakan antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Selain tekanan daripada Pakatan Harapan yang ketika itu pembangkang agar skandal ini disiasat, isu penyelewengan 1MDB mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara termasuk Majlis Raja-Raja.
Pada 6 Oktober 2015, Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan bersama menyeru kerajaan untuk melengkapkan siasatan ke atas 1MDB dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

Majlis Raja-Raja bimbang jika isu tersebut tidak dikendalikan dengan baik ia akan menjejaskan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Kepincangan skandal tersebut turut mendapat kritikan veteran UMNO iaitu Tan Sri Rafidah Aziz menyindir kerajaan kerana gagal menjejak kapal mewah Jho Low yang didakwa mempunyai hubungkait dengan dana 1MDB.

Tindakan itu disusuli dengan kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Rais Yatim yang memuat naik status twitter mempersoal telatah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang galak mempertahankan Jho Low berbanding mencari kebenaran di sebalik rampasan kapal mewah ahli perniagaan tersebut. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers