PKR sokong undi tak percaya, tubuh kerajaan peralihan


PKR menyatakan kesediaan untuk menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat sekiranya kerajaan peralihan ditubuhkan untuk memulihkan negara berasaskan reformasi ditubuhkan selepas itu, kata Rafizi Ramli.

Setiausaha agung PKR itu berkata, beliau mengalu-alukan sebarang usaha mengadakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dan yakin ia juga merupakan kemahuan rakyat.

“Saya terbuka untuk menyertai usaha undi tidak percaya terhadap Najib dengan syarat satu kerajaan peralihan yang akan memulihkan negara berasaskan agenda reformasi boleh ditubuhkan dengan langkah-langkah khusus memperbaiki institusi yang rosak dan seterusnya memanggil pilihan raya yang adil dan bersih,” kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Rafizi berkata, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pembangkang bekerjasama dengan pemimpin Umno menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan satu usaha terdesak dan mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar melanda pentadbiran Najib.

“Umno tidak seharusnya mengheret kami dalam pertikaian dalaman mereka. Yang sekarang saling jatuh menjatuhi adalah di kalangan mereka,” kata Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Zahid pada Sabtu mendakwa seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang” dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Zahid berkata beliau memperoleh maklumat ini daripada sumber boleh dipercayai namun tidak mendedahkan identiti pemimpin Umno berkenaan.

Zahid bagaimanapun menafikan malam tadi orang yang beliau maksudkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet bulan lalu.

Zahid semalam turut menegaskan tidak akan membenarkan sebarang usaha menggulingkan kerajaan berjaya malah menggesa Umno bangkit menentang rancangan itu daripada menjadi realiti.

Pemimpin Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah turut menegaskan beliau masih lagi menyokong Najib tidak berapa lama selepas dakwaan terdapat pemimpin parti Melayu itu yang mahu menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata, pendedahan Zahid terdapat plot menggulingkan kerajaan bersama pembangkang mengejutkannya akan tetapi mengatakan tidak mustahil ia wujud.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang paling lantang mengkritik Najib terutamanya dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

No comments: