SU Agung PAS Ada Bukti Campur Tangan Umno Dalam Operasi Jais





KUALA LUMPUR 17 OGOS : Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tetap dengan pendiriannya tidak akan memohon maaf kepada Umno berhubung dakwaan campur tangan parti itu ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam serbuan Gereja Methodist Damansara Utama, baru-baru ini.

Menurut Mustafa, beliau mempunyai bukti sahih sebelum membuat kenyataan tersebut kelmarin.

“Saya kekal dengan apa yang saya katakan di Kuala Terengganu, jadi soal minta maaf itu tidak berbangkit.

“Saya ada maklumat dan info yang sangat boleh dipercayai bahawa ada elemen campur tangan Umno dalam pemeriksaan itu,” katanya, dipetik dari portal The Malaysian Insider.

Umno Selangor semalam memberikan tempoh tiga hari kepada Mustafa untuk membuat permohonan maaf kepada parti itu bermula hari ini.

Menurut Setiausaha Umno negeri itu, kenyataan Mustafa itu jelas berniat jahat dan bertujuan memburukkan Umno yang merupakan salah sebuah parti komponen Barisan Nasional.

Pada sidang akhbar di Kuala Terengganu kelmarin, Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais, Marzuki Hussin.

“Saya sedia dedahkan maklumat ini kepada Pengarah Jais sekiranya berjumpa dengan beliau.

“Memang ada elemen campur tangan Umno di belakang operasi Jais,” katanya.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Pemeriksaan itu mendapat bantahan banyak pihak dan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim meminta satu laporan daripada Jais.

Jais juga telah mengambil keterangan dan memberi kaunseling kepada 12 individu beragama Islam yang berada dalam gereja semasa pemeriksaan itu dilakukan.

Pertemuan PAS dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama ditangguhkan.

No comments: