'PENDERAAN MENTAL'' PSM Mahu Bahagian Tatatertib PDRM Siasat




KUALA LUMPUR 17 OGOS: Wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini tampil mengemukakan aduan kepada Bahagian Tatatertib Polis DiRaja Malaysia bersabit salahguna kuasa polis ketika menahan reman 31 aktivis parti itu Julai lalu.

Mereka menuntut satu siasatan dijalankan bagi mengenalpasti tindakan anggota polis yang tidak menghiraukan hak asasi manusia dengan melakukan penderaan dan gangguan seksual terhadap tahanan.

Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan yang ditemui media menyifatkan polis enggan mengendahkan laporan yang telah dibuat sebelum ini oleh aktivis terbabit.

"Jadi kita rasa polis tidak serius. Mereka lebih serius buat tohmahan fitnah yang tidak ada kena mengena dan kenyataan pun tidak mahu ambil. Jadi kita terpaksa datang ke Bukit Aman untuk mengetengahkan isu disiplin dan siasatan jenayah," ujar beliau.

Antara salahguna kuasa polis yang dinyatakan dalam tujuh laporan yang dibuat di Balai Polis Pusat, Ipoh termasuklah perbuatan meludah ke muka tahanan oleh seorang anggota wanita selain menumbuk muka G. Packialetchumy kerana mempertahankan hak memakai kemeja T 'Udahlah tu... Bersaralah'.

Polis turut mengenakan gangguan seksual terhadap Packialetchumy apabila beliau dipaksa menukar baju di hadapan anggota polis lelaki selain bertanyakan soalan-soalan lucah berkaitan seks.

Laporan tersebut turut menyebut bagaimana P. Jody dan S. Ramasamy dipaksa berdiri sepanjang masa soal siasat tanpa membuka gari dan tidak dibenarkan ke tandas.

Kesemua 31 ahli PSM yang sedang menjalankan kempen 'Udahlah tu... Bersaralah' di seluruh negara ditangkap pada 25 Jun lalu sebaik melepasi tol Sungai Dua, Pulau Pinang, dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Polis kemudian menuduh kesemua mereka mempunyai niat melancarkan peperangan terhadap DYMM Yang DiPertuan Agong selain cubaan untuk menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.

Namun setelah direman kesemua tuduhan bersabit komunis digugurkan dan didakwa membantu organisasi haram di bawah Seksyen 43 dan 48 Akta Pertubuhan.

Manakala enam daripada mereka didakwa sebagai perancang utama perhimpunan Bersih 2.0 yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Arutchelvan kemudian mengulas sikap berdiam diri oleh polis memperlihatkan perlaksanaan undang-undang dwi-standard pihak berkuasa tempatan yang mengabaikan pihak tidak berkepentingan.

Malah katanya, polis seharusnya menyiasat pihak yang mengemukakan laporan bersabit tuduhan terhadap parti itu sehingga membawa kepada penangkapan dan pencabulan hak asasi manusia.

"Apa yang polis buat setakat ini? Kalau mereka siasat, pertama sekali orang yang membuat aduan itu perlu disiasat. Kenapa dia tidak dipanggil? Adakah ini dwi-standard? Orang cakap bas kita ada senjata, tangkap semua dan duduk beberapa hari dalam lokap dan mereka kata tiada apa-apa," katanya lagi.