Wednesday, August 17, 2011

Reformasi pilihan raya: Najib sekadar untuk menangguh?

Reformasi pilihan raya: Najib sekadar untuk menangguh?

Chan Wei See |

Sekali lagi Perdana Menteri Najib Razak menampilkan dirinya sebagai pembawa perubahan apabila mengumumkan bahawa kerajaan akan meneliti dan mengkaji sistem pilihan raya dan sistem media yang sedia ada, selepas siri program transformasinya. Ia memberi persepsi seolah-olah Najib akur kepada suara rakyat. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat pula menganggap janji Najib akan berakhir sebagaimana program transformasinya yang lain - semakin lenyap apabila masa berlalu.

Najib (gambar kiri) pernah menjanjikan ruang media yang lebih bebas selepas menerajui tampuk kerajaan, malah melancarkan siri program transformasi untuk mewujudkan "suasana feel good". Tetapi, ruang media tidak terbuka luas, malah semakin sempit berbanding zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Program transformasinya pula dihalang oleh golongan sayap kanan, misalnya PERKASA - dan akhirnya lari dari rupa bentuk asalnya - mungkin juga kerana tekad politiknya yang tidak teguh.

Perhimpunan BERSIH 2.0 memperlihatkan ketidakpuasan rakyat. "Suasana feel good" yang cuba diwujudkan Najib ranap. Kini, sekali lagi Najib menampilkan diri untuk membawa perubahan, cuma, sejauh manakah keikhlasannya, dan lebih penting, apa niatnya?

Ketiga-tiga orang ahli parlimen Pakatan Rakyat, Tian Chua (Batu-PKR), Liew Chin Tong (Bukit Bendera-DAP) dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PAS) ketika ditemuramah MerdekaReview, menganggap BERSIH 2.0 memberi tekanan yang besar terhadap kerajaan Najib, dan beliau perlu menyajikan janji reformasinya sebagai reaksi terhadap ketidakpuasan rakyat.

Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat berkata, ini adalah kemenangan rakyat, kemenangan BERSIH 2.0 dan kemenangan Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR, Tian Chua turut berkata, ia adalah hasil tekanan yang tercetus daripada perhimpunan BERSIH 2.0. Tian Chua menambah, Najib mengalami tekanan sebelum dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dan beliau tidak menggunakan cara yang terlalu drastik untuk menindas perhimpunan ini. Ini menunjukkan bahawa Najib tidak berani, malah tidak bersyarat untuk menentang kuasa rakyat. Maka, Najib memilih cara diplomatik untuk menyedapkan hati rakyat.

Sengaja untuk menangguh?

Oleh sebab bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan institusi itu untuk melakukan kebanyakan tuntutan reformasi, misalnya penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih dan sebagainya, Tian Chua menganggap pengumuman penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sekadar untuk menangguhkan masa - sebagaimana yang dilakukannya ketika menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock. Kesudahannya bakal membuktikan, hasilnya jauh lebih kurang daripada apa yang dilaung-laungkan, kata Tian Chua.

Ketika ditanya kemungkinan Najib menyedari bahawa reformasi sistem pilihan raya adalah hasrat rakyat, maka dirinya perlu mengikut arus ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat, Tian Chua (gambar kiri) sebaliknya mempersoalkan, "Mengapa perlu Najib berbuat sedemikian? Beliau tak perlu buat sedemikian, itu periuk nasinya."

Tian Chua menjelaskan, kerajaan tetap boleh menjalankan reformasi sistem pilihan raya meskipun tanpa Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Tian Chua tetap menganggap bahawa Najib tidak berniat untuk melaksanakan agenda reformasi, yang bakal menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13.

Dzulkefly Ahmad dan Liew Chin Tong meskipun mengalu-alukan respon positif Najib terhadap tuntutan BERSIH 2.0, namun meramalkan bahawa janji ini akan berdepan dengan rintangan dalam partinya ketika cuba dilaksanakan.

Umumkan tarikh PRU-ke13!

Dzulkefly Ahmad berkata, Najib tidak menampilkan apa-apa prestasi atau monumen politiknya sepanjang tiga tahun ini, meskipun beria-ia dengan program transformasinya - dan hanya "terkejut dari tidurnya" selepas ditekan BERSIH 2.0. Dzulkefly Ahmad menambah, seandainya Najib ingin meyakinkan rakyat bahawa dirnya memang ikhlas untuk melaksanakan perubahan, maka Najib harus memberitahu rakyat bila PRU ke-13 akan diadakan, selain menetapkan "jadual waktu" dan objektif pelaksanaan reformasi yang jelas.

Meskipun mengalu-alukan respon positif daripada Najib, Liew Chin Tong (gambar kanan) berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sahaja tidak mencukupi, kerana negara kini memerlukan reformasi secara menyeluruh dari sistem demokrasinya, termasuk kebebasan media, pemilikan media, kebebasan perhimpunan, pendaftaran warga negara dan sebagainya - dan bukan hanya reformasi yang terbatas kepada bahagian-bahagian tertentu.

Beliau menambah, anggota Jawatankuasa Pilihan Parlimen belum diketahui setakat ini. Malah beliau berkata, seandainya ahli parlimen Pasir Mas merangkap Presiden PERKASA Ibrahim Ali tersenarai sebagai anggota jawatankuasa tersebut, maka usahlah berbicara mengenai reformasi.

Liew Chin Tong menganggap desakan BERSIH 2.0 dan tekanan dalam parti seperti Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang menyebabkan Najib terpaksa menampilkan imej pembawa perubahan. Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menunjukkan Najib bakal menghadapi halangan daripada golongan sayap kanan dalam UMNO.

Liew Chin Tong percaya bahawa Najib menyedari perubahan senario yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar, malah faham bahawa pengawalan media tidak akan memberi kesan. Namun demikian, golongan kanan dalam UMNO mempunyai pemahaman yang berbeza dengannya dalam hal ini, yang menyebabkan usaha dirinya sentiasa tersekat dalam parti.

Tidak tegas, tidak mempunyai halatuju adalah masalah yang terbesar untuk Najib, sehingga agenda yang dikemukakannya itu sentiasa tidak "tulen" pada peringkat akhirnya, kata Liew Chin Tong. "Beliau tidak tahu untuk berada di posisi mana dalam politik demokrasi, di depan atau di belakang. Adalah bahaya untuk seseorang ketua yang tidak berhalatuju, lebih bahaya daripada membuat keputusan."

Dzulkefly Ahmad (gambar kiri) juga bersetuju dengan pandangan ini, "Najib ditentang partinya sendiri, partinya adalah musuh beliau, bukan Pakatan Rakyat atau rakyat. Dan Najib adalah musuh untuk dirinya, ini kerana beliau tidak bertulang belakang, beliau berdolak-dalik, gagal melakukan apa-apa!"

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 16 Ogos 2011.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers