Hanya MP Kerajaan, Pembangkang, Bebas Sertai PSC



KUALA LUMPUR 17 OGOS :Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik sistem pilihan raya yang mungkin ditubuhkan selepas 3 Oktober, akan hanya dianggotai ahli parlimen (MP) daripada parti pemerintah Barisan Nasional, pembangkang dan Bebas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau akan membentangkan usul untuk penubuhan PSC dwipartisan itu pada sidang Parlimen akan datang yang bermula 3 Okt dan anggota jawatankuasa itu tidak akan termasuk kalangan bukan anggota Parlimen.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh turut serta sebagai saksi semasa pendengaran dan bukan sebagai anggota PSC. Prosedur penubuhan PSC amat jelas dan ia mesti dianggotai anggota Parlimen. Sebab itu ia dipanggil Jawatankuasa Pemilih Parlimen," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata PSC bagi menambah baik sistem pilihan raya akan mengkaji isu-berkaitan pilihan raya yang dibangkitkan dan mencari jalan untuk menambah baik undang-undang pilihan raya sedia ada.

"PSC akan draf laporan mengenai isu-isu pilihan raya, kemudian ia akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencapai rumusan. Selepas itu, draf akhir akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk semakan sebelum diluluskan oleh Kabinet, dan akhir sekali dibentangkan di Parlimen untuk digubal menjadi undang-undang," katanya.

Nazri menjelaskan bahawa walaupun proses itu mungkin mengambil masa, kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang kerana mandat sekarang akan berakhir pada Mac 2013.

"Jika pilihan raya umum diadakan pada 2013, kita kemungkinan akan menggunakan undang-undang yang telah ditambah baik seperti dicadangkan oleh PSC.

Bagaimanapun, saya tidak tahu bila pilihan raya umum akan datang diadakan. Hanya Perdana Menteri yang tahu," katanya.

Nazri berkata Kabinet akan membincangkan penubuhan jawatankuasa itu hari ini, termasuk bidang tugas dan jumlah anggotanya yang mungkin antara lapan dan 15 orang.

"Jawatankuasa ini kemungkinan diketuai Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Baki anggotanya ialah anggota Parlimen daripada BN, pembangkang dan Bebas," katanya.

Nazri mendedahkan Kabinet, pada mesyuarat mingguannya Rabu lepas, telah membincangkan desakan pakatan pembangkang bagi diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan dakwaan kononnya penduduk tetap diberikan kewarganegaraan dan hak mengundi.

Pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri pada 8 Ogos menggesa diadakan sidang tergempar Parlimen pada bulan ini bagi membahaskan apa yang mereka rujuk sebagai "isu penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi".

"Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa pemilih Parlimen adalah hasil daripada mesyuarat itu. Oleh yang demikian, tidak perlu diadakan sidang tergempar Parlimen sepertimana diminta oleh parti-parti pembangkang ekoran kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk
mengkaji perkara itu," katanya.

Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas mengenai penubuhan jawatankuasa itu mendapat sambutan baik daripada pembangkang dan orang ramai termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Bagaimanapun, pakatan pembangkang mendesak supaya PSC dipengerusikan oleh anggota Parlimen pembangkang dan kerajaan memberikan jaminan pilihan raya umum tidak diadakan sehingga PSC menyiapkan tugasnya dan penambahbaikan yang dicadangkan itu dilaksanakan.


No comments: