Jamzuri Ardani
Ini ada petikan satu kisah dari buku 'Hayatus Sahabah' tulisan Maulana Muhammad Yusuf Kandhelwi.
Kisahnya bermula apabila Amru b Al As RA dilantik oleh Ar Rasul SAW memimpin pasukan tentera menentang kabilah Arab di wilayah Syam yang bernaung di bawah kerajaan Byzantine. Peperangan itu disebut sebagai perang Dzat As Salasil.
Oleh kerana wilayah ini bukan wilayah yang biasa bagi tentera Islam, Amru Al As mengupah Rafi' (Ibn Abu Rafi') sebagai penunjuk jalan yang ketika itu masih belum memeluk Islam. Malah ada catatan yang menyebut, Rafi' adalah seorang perompak padang pasir yang digeruni kerana sering menyerang kafilah dagang yang melalui wilayah tersebut. Dia amat biasa dengan keadaan wilayah tersebut.
Apabila sampai di Syam, Amru mendapati tentera musuh jauh lebih ramai dari jumlah tentera Islam, lalu beliau meminta Nabi SAW mengirim tentera bantuan. Lalu Nabi SAW mengirim tentera tambahan yang di dalamnya ada Abu Bakar As Siddiq RA, Umar Al Khattab RA, dan Abu Ubaidah Al Jarrah RA.
Rafi' menjadi tertarik hati dengan peribadi dan akhlak tentera muslimin, terutamanya Abu Bakar RA lalu mendekatinya. Beliau meminta satu nasihat dari Abu Bakar untuk dirinya.
Abu Bakar RA berkata kepadanya, "Janganlah kamu mengambil jawatan sebagai pemimpin walaupun ke atas dua orang pengikut". Ramai ahli seerah berpandangan nasihat itu diberikan oleh Abu Bakar RA kepadanya atas faktor diri Rafi' itu yang berwatak kasar dan kurang berpendidikan.
Apabila Abu Bakar RA menerima jawatan sebagai Khalifah, Rafi' RA (ketika itu sudah memeluk Islam) teringat dialog dan nasihat yang diberikan kepadanya oleh Abu Bakar RA lalu dia bergegas berjumpa Abu Bakar RA bagi mendapatkan penjelasan.
Lalu berlakulah dialog seperti yang dicatatkan dalam buku 'Hayatus Sahabah' ini.