LANGKAH DUBAI TIDAK MENJADI KENYATAAN BUKAN KERANA GAGAL ATAU DIGAGALKAN, TETAPI SEBAB TIDAK PERNAH DIGERAKKAN

 

Sejak malam tadi, begitu ramai yang bercakap dan menulis mengatakan Langkah Dubai sebagai langkah yang gagal.

Ada nada gembira di sebalik luahan demikian, setidak-tidaknya yang pasti muncul esok ialah tahun baru, bukan kerajaan baru.

Langkah Dubai yang dikatakan gagal itu kemudian ditukar menjadi Langkah Bye Bye, Langkah Terbarai dan macam-macam lagi.

Yang belum kelihatan cuma masih belum ada yang mendabik dada mengaku merekalah yang memainkan peranan menyebabkan Langkah Dubai itu tidak menjadi kenyataan, seterusnya dianggap sebagai gagal.

Kalau ada yang berani mengaku sedemikian sebagaimana ada orang kuat J-Kom mengaku mempunyai maklumat mengenai wujudnya Langkah Dubai, memang luar biasa orang berkenaan.

Soalnya, benarkah Langkah Dubai yang tidak menjadi kenyataan itu boleh dianggap sebagai gagal?

Sebelum itu, mari kita fahami makna gagal itu terlebih dahulu.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat – gagal bererti tidak berhasil atau tidak berjaya dan tidak dapat mencapai matlamat (seperti cita-cita dan apa yang dikehendaki).

Dalam erti kata lain, takrifan gagal itu mestilah setelah didahului dengan usaha terlebih dahulu.

Oleh kerana tidak berjaya dicapai, meski setelah berusaha, barulah ia boleh dianggap sebagai gagal.

Dalam konteks Langkah Dubai, walaupun ia tidak menjadi kenyataan, ia sebenarnya bukanlah sesutu yang gagal.

Jauh sekali ia tidak menjadi kenyataan kerana digagalkan.


Ini kerana Langkah Dubai yang heboh itu tidak pernah digerak atau diusahakan oleh sesiapa.

Langkah Dubai adalah sebuah khayalan, cerita palsu, semata-mata rekaan atau seperti kata Ahmad Maslan – hanya fatamorgana.

Ia tidak menjadi kenyataan, malah tidak mungkin menjadi kenyataan kerana ia tidak pernah sama sekali diusaha atau digerakkan.

Benda yang tidak pernah diusaha atau digerakkan, memang tidak mungkin akan menjadi kenyataan.


Tetapi, ia bukan gagal.

Macam orang yang tidak ada lesen memandu, tetapi tidak pernah belajar memandu, tidak pernah mendaftar untuk mengambil lesen dan jauh sekali pernah mengambil ujian memandu, orang seperti ini tidak boleh dikata sebagai gagal ujian memandu.

Sesuatu yang sekadar disembang, tapi tidak pernah diusaha atau digerakkan, itu angan-angan namanya.

Sama seperti Langkah Dubai, tiada usaha atau gerakan oleh mana-mana kumpulan Ahli Parlimen mengenainya.

Takkan dengan angan-angan dan sembang kosong dua tiga TikTokers pun ada yang terpedaya, kemudian bila tiada apa-apa berlaku, bangga pula mencipta naratif Langkah Dubai telah gagal?

Adoiiiiii….(ShahbudinHusin 31/12/2023)


No comments: