Secara umumnya UMNO memang tidak mahu bersama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU akan datang dan perkara itu sudah pun ditekankan banyak kali oleh pimpinannya.
Pendirian UMNO ialah mereka hanya bersama dalam kerajaan PN sekarang sehingga Parlimen dibubarkan saja.
Sebaik Parlimen dibubarkan, putuslah hubungan dengan Bersatu itu dan UMNO akan kembali dengan ketetapan awal iaitu hanya bermuafakat bersama Pas untuk menghadapi PRU15.
Bagi UMNO, jika mereka memilih bersama Bersatu, ia adalah pilihan yang akan “membunuh” mereka kerana Bersatu tidak mungkin mampu terus hidup jika UMNO dalam keadaan sedar bernyawa.
Begitu pun, sementara Muafakat Nasional (MN) belum sempat didaftarkan, Muhyiddin Yassin lebih dulu mendaftarkan Perikatan Nasional atau PN.
Barangkali kerana tertarik dengan Muhyiddin yang sedang memegang kuasa, Pas setuju menjadi anggota komponen PN bersama Bersatu, Star dan SAPP.
Dengan yang demikian, kedudukan Pas kini menjadi misteri – bermain dua kolam di mana ketika ia bermuafakat dengan UMNO dalam MN,ia turut setuju menyertai PN.
Perkara ini tentu saja membangkitkan persoalan – di mana Pas dalam PRU15 akan datang?
Bersama UMNO dalam MN atau bersama Bersatu dalam PN?
Meskipun sekarang ini, Bersatu dan Muhyiddin adalah pemegang kuasa dalam kerajaan dan UMNO hanya ibarat penumpang di sebalik mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbanyak sekali, UMNO tetap parti yang lebih kuat berbanding Bersatu.
Kekuatan itu bukan saja dari segi jumlah keahlian dan strukturnya, tetapi juga kerana kekentalan jiwa ahli serta pemimpinnya.
Kekentalan itu bagaimanapun tidak ada dalam Bersatu di mana bertahannya ahli dan pemimpinnya dalam parti itu sekarang hanya kerana kuasa masih ada tangan mereka semata-mata.
Jika kuasa sudah hilang, percayalah, ahli dan pemimpin Bersatu akan segera bertempiaran mencari tempat perlindungan, bahkan akan menjadikan PN tidak mampu ke mana-mana.
Oleh itu, pilihan yang tepat dan terbaik bagi Pas dalam PRU15 akan datang, jika mereka mahukan kemenangan, stabil dalam perjuangan dan kekal memegang kuasa ialah bersama dengan UMNO.
Dengan jumlah ahlinya juga mencecah 1 juta, kekentalan jiwa ahli dan pemimpinnya hampir sama dengan UMNO, bergabung serta bermuafakatnya dua parti itu pasti mampu menterjemahkan kekuatan yang luar biasa.
Tetapi jika Pas memilih bersama Bersatu, sebuah parti kecil yang tidak ramai ahli dan tiada akar umbi, malah kekentalan ahli dan pemimpinnya dalam perjuangan juga tidak ada, penggabungan keduanya tidak akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.
Lebih mungkin lagi, Pas hanya akan menjadi alat tunggangan dan pergunaan oleh Bersatu semata-mata dalam semua kerja-kerja pilihanraya jika memilih bersama dengan parti itu dalam menghadapi PRU15 nanti.
Rasanya tidak sukar Pas membuat pertimbangan dalam hal ini, kecualilah jika parti itu mahu “bunuh diri” dan ingin “mati” bersama Bersatu, walaupun jalan untuk terus hidup adalah bersama UMNO.
. (Shahbudindotcom 28/12/2020)