Walaupun bersama dalam membentuk kerajaan, pendirian UMNO tentang hubungannya dengan Perikatan Nasional (PN), Bersatu dan Muhyiddin Yassin adalah jelas tidak akan melebihi tempoh PRU15.
Beberapa pemimpin utama UMNO seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib Razak, Khaled Nordin, Asyraf Wajdi Dusuki dan yang lain-lain telah lebih awal memberi penegasan mengenai perkara tersebut.
Semuanya senada mengatakan kerjasama mereka dengan Muhyiddin dan Bersatu serta keberadaan dalam PN hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan saja.
Selepas itu, komitmen dan tumpuan UMNO adalah hanya untuk bersama Pas dalam Muafakat Nasional serta akan mengucapkan “bye bye” kepada PN, Bersatu dan Muhyiddin.
Beberapa hari yang lalu, susulan Muhyiddin mahu mendaftarkan PN sebagai sebuah gabungan yang sah, beberapa pemimpin UMNO dengan tegas menolaknya idea tersebut.
Antara mereka ialah Pengerusi UMNO Selangor yang baru dilantik sebagai Pengerusi MISC dan Ahli MT UMNO, Dr. Puad Zarkashi.
Nada kedua-duanya cukup keras dengan gambaran yang sangat jelas bahawa Bersatu tiada dalam pertimbangan UMNO untuk diajak bersama menghadapi PRU15 akan datang.
Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi turut mengulangi penegasannya sebelum ini bahawa Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas hanya akan mempertahankan PN sehingga PRU15 saja.
Habis, apa jadi selepas itu dan untuk menghadapi PRU15 nanti?
Berdasarkan rangkuman kenyataan para pemimpin UMNO itu, adalah amat jelas dan tidak diragui bahawa PN, Muhyiddin dan Bersatu akan ditinggalkan terkontang-kanting sendirian dalam menghadapi PRU15 akan datang.
Nampaknya, walaupun diajak bersama membentuk kerajaan, diberikan jawatan menteri, timbalan menteri dan puluhan lagi mengetuai GLC, UMNO langsung tidak mahu mengenang budi Muhyiddin untuk bersama-sama dengan beliau dan Bersatu mengikat kasih melebihi tempoh PRU15.
Ikatan kasih UMNO hanya semata-mata kepada Pas saja.
Sebaik Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan, bermakna ketika itu terlerailah hubungan dan ikatan kasih antara UMNO dengan Muhyiddin dan Bersatu.
Sementara UMNO disertai BN akan bersama dengan Pas dalam MN, Muhyiddin dan Bersatu selepas itu pandai-pandailah membawa diri.
Keadaan ini tak ubah menjadikan hubungan UMNO dengan Muhyiddin dan Bersatu seperti orang yang bernikah secara mutaah – cukup tempoh, pasangan mesti diceraikan.
Walau sebaik mana sekali pun layanan diberikan, sedap masakan yang dihidangkan dan kemewahan diberikan, tetapi kerana ia hanya pernikahan mutaah, bila sampai tempohnya, pasangan tetap ditinggal atau diceraikan.
Itulah sebenarnya gambaran tepat hubungan UMNO dengan Muhyiddin dan Bersatu ketika ini, hubungan mereka tidak lebih seperti pernikahan mutaah yang sudah diharamkan dalam Islam.
Dalam politik pula, rasanya inilah satu-satunya pernikahan mutaah yang pernah terbentuk di negara kita.
Dengan dicerai dan ditinggalkan, kemudian bertanding sendirian, Bersatu dan Muhyiddin hampir tiada lagi masa depan untuk bersaing dengan PH mahupun MN.
Nak ucapkan apa kepada Muhyiddin dan Bersatu dalam hal ini?
Rasa kesian dan simpati atau padan muka?
(Shahbudindotcom 08/06/2020)