Kalau DAP sokong Hadi sebagai calon PM, adakah ia bersih semula?



Serangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa rakyat Malaysia supaya menolak DAP dengan alasan ia ‘tidak bersih’ dan bukan muslim menimbulkan persoalan.
Adakah sekiranya DAP menyokong Hadi sebagai calon Perdana Menteri, ia akan kembali suci murni di mata Ahli Parlimen Marang itu?
Persoalan itu ditimbulkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya, membalas serangan Hadi melalui wawancaranya yang disiarkan akhbar UMNO, Berita Harian minggu lalu.
“Selama tujuh tahun, dari 2008 hingga 2015, Hadi mengetuai PAS untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menggantikan UMNO-BN di Putrajaya.
“Bila masanya Hadi menyedari DAP itu ‘tidak bersih’ dan tidak layak bekerjasama?” soal Kit Siang.
Kit Siang justeru bertanya sama ada Hadi mula rasa tidak senang dengan DAP pada tahun 2012 apabila beliau gagal mendapatkan sokongan DAP untuk mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri Pakatan Rakyat, dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘Tidak bersih’ kerana bukan-Islam?
Hadi turut dilaporkan berkata bahawa DAP wajar ditolak kerana ia parti bukan-Islam.
Respon Kit Siang kepada kenyataan tersebut lebih menarik lagi.
“Saya diingatkan kepada tiga perkara. Pertama, kata-kata Muhammad Abduh: ‘Aku pergi ke Barat dan melihat Islam, tetapi tidak berjumpa Muslim; aku pulang ke Timur berjumpa ramai Muslim, tetapi tidak melihat Islam’.
“Kedua, kajian Universiti George Washington tentang negara-negara Barat yang mengamalkan nilai-nilai Islam dalam ekonomi dan perniagaan, melampaui negara-negara Islam.”
Indeks hasil kajian tersebut meletakkan Ireland di tangga pertama, diikuti Denmark, Luxembourg, Sweden dan United Kingdom.
“Malaysia adalah negara umat Islam pertama dalam senarai tersebut, dan berada di kedudukan ke-41,” jelas Kit Siang.
Ketiga, kata beliau adalah indeks persepsi rasuah Transparency International sepanjang 22 tahun lalu.
“Dalam indeks CPI 2016 yang menyenaraikan 176 buah negara, 20 negara teratas adalah negara bukan-Islam.
“Tujuh daripada negara paling korup dalam senarai 176 negara itu adalah negara umat Islam,” ujar beliau.

No comments: