Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh ketika PAU2024 baru-baru ini tidak menolak kemungkinan parti itu akan bertanding secara solo dalam PRU16 akan datang.
Katanya, UMNO masih belum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan siapa pada PRU16 nanti.
“Mungkin hari ini kita bersama orang itu, tapi minggu depan kita mungkin akan berubah.
“Jadi sudah tentu option itu terbuka, mungkin juga kita boleh bersama mana-mana parti, selagi mana dia menguntungkan bangsa, agama dan negara,” katanya.
Meskipun begitu, dua pemimpin utama UMNO semacam menolak pendirian sebagaimana dinyatakan Dr Akmal itu.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu perlu difikirkan dengan teliti kerana mengharapkan undi daripada ahli UMNO semata-mata tidak mencukupi untuk memperolehi kemenangan.
“Sebelum kita ingin mengambil pendekatan “go solo”, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?
“Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada?
“Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?
“Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana.
“Yang di luar itu jauh lebih besar peratusannya, dah jauh lebih ramai jumlahnya,” kata beliau.
Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, masih terlalu awal untuk UMNO memutuskan sama ada untuk bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.
Menurutnya, adalah tidak adil untuk UMNO menilai perkembangan semasa parti ketika ini untuk memutuskan perkara itu, sedangkan PRU16 belum lagi ditentukan tarikhnya.
“Keputusan untuk bergerak solo atau mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti akan diputuskan apabila tiba masanya,” kata beliau.
Ertinya, UMNO belum ada kata putus lagi.
Dalam waktu terdekat ini, selepas menang di Nenggiri, cabaran yang menanti UMNO ialah PRK Dun Mahkota yang akan diadakan pada 28 September depan.
Tidak sebagaimana Nenggiri yang hanya mempunyai pengundi Melayu dan Orang Asli, Mahkota yang mempunyai lebih 66 ribu pengundi sebaliknya memliki komposisi Melayu sekitar 54%, Cina 35% dan India 8%.
Dengan itu, sebagai memenuhi keinginan Dr Akmal itu, apa kata jika UMNO cuba bertanding solo di Mahkota nanti?
Mana tahu, jika UMNO boleh menang di Mahkota tanpa bantuan DAP, tentu lebih senang diputuskan pendirian bergerak solo itu lebih awal lagi?
Ada berani? – ShahbudinHusin 26Ogos2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/08/26/apa-kata-umno-cuba-solo-di-mahkota.html