ADA AHLI PAS MEMBUROKKAN NAMA PARTI SENDIRI

Pandangan politik itu adalah hak masing-masing.

Ada segelintir orang Islam di negara ini terbawa-bawa dengan budaya menghukum seseorang yang tidak disukai: mudah memanggil orang lain kafir, khadam kepada kafir, munafiq dan lain-lain.

Semua tindakan itu adalah soal hukum dan ada dosa pahalanya.

Saya berlapang dada apabila ada watak-watak seperti seorang yang bernama Amir Muhsinx ini yang menjatuhkan saya hukum saya seorang ahli neraka.

Saya telah melalui liku-liku dari kerjaya yang panjang di dalam dan luar politik. Makian begini tidak ada kesan kepada saya, malah saya anggapnya sebagai peluang mendapat pahala jika saya beristighfar dan memaafkan mereka yang berkelakuan begini.

Yang terkesan tanpa mereka sedari adalah pelaku yang tidak berhati-hati soal garis hukum dan dosa pahala.

Dan watak seperti Amir Muhsinx ini ada anak, ada isteri, ada keluarga. Dia akan menjadi contoh yang tidak baik untuk anak dan isteri.

Begitu juga bila budaya menggunakan agama untuk berdepan lawan politik ini menjadi senjata politik mereka. Ia menggalakkan sebuah masyarakat yang dengan mudah kafir mengkafir, hukum menghukum dan menggalakkan api kemarahan bersandarkan salah faham agama dalam masyarakat.

Penyokong PAS dan UMNO yakin mereka kalah kerana kononnya rakyat ditipu oleh PH, sehingga mereka sanggup bersumpah seranah menjatuhkan hukum seseorang itu ahli neraka.

Kemenangan PH bukanlah kerana rakyat ditipu. Sebabnya ialah pengundi atas pagar dapat menilai sendiri kerosakan yang dibawa oleh Najib Razak

Pengundi atas pagar bukanlah bodoh sehingga senang ditipu oleh mana-mana parti politik. Sebab itu juga jika PH gagal melaksanakan gagasan untuk membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat, maka rakyat juga kelak akan menghukum PH.

Itu adat resam politik.

Sebab itu pimpinan politik di atas ini berkawan dalam bermusuh. Di depan mereka menuduh yang bermacam-macam, di belakang mereka merancang untuk berkongsi kuasa.

Akhirnya pimpinan politik terus hidup senang. Mereka ada jawatan yang berpuluh ribu sebulan. Jadi berbaloi untuk mereka bermain politik sepanjang masa kerana habuannya besar dan berbaloi dengan risiko (juga risiko dosa!).

Sebaliknya watak-watak di bawah ini yang taksub membabi buta sehingga mengundang dosa dengan menjatuhkan hukum neraka kepada tokoh politik lawan yang mereka tidak suka - alangkah malangnya, kerana anda tidak mendapat apa-apa kecuali dosa.

Bermuhasabahlah dalam mengambil pendirian politik.

Jangan sampai mendatangkan dosa tanpa kita sedari.

No comments: