Sudah menjadi amalan dan kebiasaan di seluruh dunia, orang bukan Islam akan turut sama meraikan setiap kali hadirnya Ramadan.
Ia tidak saja melibatkan pemimpin-pemimpin dunia, malah juga orang-orang biasa.
Mereka tidak sekadar menghargai ketibaan Ramadan dengan memberi ucapan kepada rakan-rakan yang beragama Islam, malah turut mengambil peluang untuk merasai nikmat berbuka puasa bersama umat Islam.
Perdana Menteri Kanada dan Perdana Menteri Singapura adalah antara pemimpin dunia yang biasa hadir dalam majlis-majlis berbuka puasa.
Terdapat juga, pemimpin dunia, Barack Obama misalnya, pernah menganjurkan majlis berbuka puasa di Rumah Putih yang menjadi tumpuan dunia itu.
Malangnya, di Malaysia ada pula percubaan untuk menghalang pemimpin bukan Islam yang bernama Lim Guan Eng yang menjadi ketua kerajaan Pulau Pinang daripada menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
Kata mereka yang ekstrem itu sambil berdemo, kalau Guan Eng nak hadir berbuka puasa, masuklah Islam dulu.
Islam apa mereka itu?
Di mana letaknya keindahan Islam dan Islam sebagai "rahmatan lil alamin" jika orang bukan Islam mahu turut serta merasai nikmat berbuka puasa pun tidak dibenarkan?
Golongan ekstrem ini, jika dibiarkan dan tidak segera dibendung, tidak mustahil suatu hari nanti orang bukan Islam mahu membeli juadah di bazar Ramadan juga mahu disekatnya sama.
Peliknya, tak kedengaran pula mereka ini melarang Presiden MCA, Presiden MIC atau Presiden Gerakan agar jangan hadir majlis berbuka puasa?
Kenapa hanya Guan Eng saja yang mahu dilarang?
Kenapa juga ketika Pas berpeluk dengan DAP dulu, semua ini tidak kedengaran, bahkan mereka sebaliknya begitu gembira dapat berbuka puasa bersama-sama Guan Eng? (ShahbudinHusin 28/05/2027).