Kenaikan harga: Pengguna desak Pakatan Harapan anjur ‘duduk bantah’
Siri kenaikan tambang pengangkutan awam dan tol yang melampau pada penghujung 2015 menyebabkan ramai pengguna, terutama di Kuala Lumpur menggesa Pakatan Harapan menganjurkan satu demonstrasi ‘duduk bantah’ ala Bersih 4 bagi mengingatkan kerajaan agar lebih berprihatin.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas beberapa pengguna perkhidmatan pengangkutan awam mendapati rata-rata tidak berpuas hati dengan kenaikan harga.
“Janganlah naik begitu banyak. Seharusnya naik dari RM1.00 ke RM1.20 sudah cukup untuk mengorek saku rakyat. Ini pula naik lebih dari 100%.
“Bayangkanlah kalau sebulan, perbelanjaan tambang komuter seorang pengguna naik 100% atau lebih. Dulu masa kempen Pilihan raya Umum Ke-13, pemimpin BN kata tidak akan ada naikkan harga kalau diberi mandat. Sekarang mereka sudah mungkir janji 1,001 kali,” kata Tony Leong, seorang pekerja pejabat berumur 38 tahun.
Citra Dewi, wanita berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah gedung membeli-belah berhampiran dengan Bank Negara pula berkata walaupun tambang perlu dinaikkan namun ia sepatutnya berpatutan.
Tambang komuter dari stesen Kepong ke Bank Negara secara bayaran tunai misalnya berharga RM2.20 sehala dan RM4.40 untuk perjalanan pergi-balik. Sebelum kenaikan harganya ialah RM1.00 sehala. Justeru, kenaikannya ialah 120% dari RM1.00 ke RM2.20.
Semua orang yang ditemubual berkata Pakatan Harapan perlu menganjurkan bantahan besar-besaran ‘duduk-bantah’ di KL untuk menentang kenaikan kos sara hidup.
Mereka juga merungut mengenai kegagalan kerajaan “membela nasib rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.” Semua berpendapat tambang pengangkutan awam sewajibnya murah untuk menggalakkan rakyat menggunakannya.