DETIK ISLAM
Sunday, December 21, 2014
Selagi bergelar manusia,
kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat secara sedar
ataupun tidak. Saya akui kelemahan diri ini yang sering gagal menangani
kehidupan tanpa dosa. Tidak kira ia berlaku sama ada dari pandangan
mata, pendengaran, butiran kata-kata dan anggota yang lain. Apabila
dikuasai oleh nafsu dan pujukan musuh manusia, syaitan laknatullah, saya
hilang rasa malu untuk melakukan dosa walaupun akidah kita dipaterikan
bahawa Allah itu Maha Mengetahui segalanya apa yang berlaku di langit
dan bumi, yang terang mahupun yang tersembunyi.
Namun seperti biasa,
selepas melakukan dosa dan maksiat saya akan mulai sedar kembali bahawa
diri telah terjebak dengan perkara mungkar. Timbul rasa penyesalan dan
malu akan apa yang sudah berlaku. Ia seterusnya mengajak diri untuk
sujud memohon keampunan daripada-Nya. Di sini akan terasa sayang dan
cinta-Nya kepada para hamba-hamba-Nya yang menyesal perbuatan mereka.
Lagi menambahkan rasa malu dan segannya saya sebagai hamba kepada-Nya.
Titisan air mata penyesalan jatuh agar dosa-dosa sebelumnya diampunkan
oleh-Nya. Maha Suci Allah, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.
Sebagaimana disebutkan
dalam hadith Qudsi, Nabi saw bersabda dari apa yang telah dikhabarkan
oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, baginda bersabda:
“Dahulu, ada seorang yang telah berbuat dosa. Setelah itu, ia berdoa dan bermunajat; ‘Ya Allah, ampunilah dosaku! ‘
Kemudian Allah Subhanahu
Wa Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya hamba-Ku mengaku telah berbuat dosa,
dan ia mengetahui bahwasanya ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni
dosa atau memberi seksa karena dosa.”
Kemudian orang tersebut berbuat dosa lagi dan ia berdoa; “Ya Allah, ampunilah dosaku!”
Maka Allah Subhanahu Wa
Ta’ala berfirman: “Hamba-Ku telah berbuat dosa, dan ia mengetahui
bahwasanya ia mempunyai Tuhan yang mengampuni dosa atau menyeksa
hamba-Nya karena dosa….”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada hadis di atas,
peringatan kepada diri saya yang hina ini dan sesiapa sahaja di luar
sana mengalami situasi yang sama, pintu taubat sentiasa terbuka untuk
hamba-hamba-Nya yang lemah dan menginsafi diri. Dan Allah swt tidak
pernah berputus asa untuk mengampunkan hamba-Nya selagi seorang itu
terus istiqamah memohon keampunan daripada-Nya. Ingin saya peringatan
diri saya sendiri sekali lagi agar kita bersama-sama memohon keampunan
daripada-Nya dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh setiap masa
dan jika boleh, setiap hari agar diri kita terselamat daripada sebarang
sifat tercela.
Sesungguhnya, maksiat
tidak pernah memberikan sebarang nilai tambah kepada amal timbangan
walaupun ia manis dan nikmat dilakukan. Beberapa minit yang lepas, saya
terbaca satu ungkapan hebat daripada seorang ulama yang tidak asing
yakni Ibnu Qayyim Rahimahullah akan kesan maksiat dalam kitab beliau
Faraid seolah-olah tahu diri ini dirundung dalam perasaan bersalah dan
berdosa. Ibn Qayyim menyebut bahawa ;
“..antara kesan maksiat
adalah pelakunya tidak banyak mendapatkan petunjuk, fikirannya kacau, ia
tidak melihat kebenaran dengan jelas, hatinya rosak, daya ingatannya
menjadi lemah, waktunya hilang sia-sia, dibenci manusia, hubungan dengan
Allah renggang, doanya tidak dimakbulkan, hatinya keras, keberkahan
rezeki dan umurnya musnah, diharamkan mendapatkan ilmu, hina, dihinakan
musuh, dadanya sesak, diuji dengan teman-teman yang jahat yang merosak
hati dan mensia-siakan waktu, cemas berpanjangan, sumber rezekinya
ditarik, dan hatinya tergoncang. Maksiat dan lalai membuatnya lupa
dzikir kepada Allah, sebagaimana tanaman tumbuh kerana air dan kebakaran
terjadi kerana api.”
Ya Allah, begitu
binasanya kesan perlakuan maksiat dalam kehidupan. Ya Allah, ampunilah
aku, Sesungguhnya, aku telah melakukan perkara yang Engkau mahu hamba-Mu
jauhi. Astarghfirullah..
*Sumber dari mesejabdul.wordpress.com |peribadirasulullah.wordpress.com