Oleh Hishamuddin Rais
Kes dan kejadian memasang bendera salah ini saya timbulkan kerana pada ketika saya menulis ini, ada Satu Bendera Sedang Tercacak di Lahad Datu. Bendera Lahad Datu ini pelik lagi memelikkan. Pertamanya, media antarabangsa tidak diibenarkan untuk membuat laporan. Wartawan Al-Jazeera telah ditangkap dan dihalau keluar. Rakyat Malaysia ibarat cendawan - disimpan dalam gelap dan dibajai tahi lembu.
Mengikut laporan awal bendera yang tercacak di Lahad Datu ini bersangkutan dengan Yazid Sufaat yang baru kena tahan dibawah undang-undang ISA Baru. Apa sangkut paut Yazid dengan Lahad Datu tidak jelas. Tetapi berita ini hilang bagitu saja. Pada awalnya umum telah diberitahu ada 100 gerila lengkap bersenjata telah mendarat di Lahad Datu. Tetapi tidak diketahui pula dari busut jantan mana Sang Gerila ini datang. Tetiba, beberapa hari kemudian laporan mula beralih.
Jumlah 100 kini menjadi 40 orang. Ke mana 60 orang lagi menikus walah hu alam bissawab. Media Malaysia pada awalnya melapor bahawa gerila ini lengkap bersenjata. Tetiba berita diubah. Sang Gerila hanya datang dengan penggali dan cangkul.Setelah beberapa hari, muncul pula berita yang melaporkan Sang Gerila ini ingin bertemu dengan seorang personaliti. Mengikut laporan - sesudah bertemu dengan ‘personaliti ‘ ini Sang Gerila akan pulang. Siapa personaliti yang ingin ditemui ini?
Apakah Sang Gerila ini hendak berjumpa Ziana? Atau personaliti yang dimaksudkan ialah Psy Gangnam Style? Sampai hari ini tidak diketahui siapa personaliti itu.
Terakhir media memaparkan gambar Hishammuddin Hussein meneropong dari jauh untuk melihat Bendera Lahad Datu yang sedang tercacak. Perangai meneropong dari jauh telah menjadi tabiat menteri dalam negeri semenjak dia diberi teropong untuk melihat cara polis membelasah penunjuk perasaan di Bersih 3 tahun lalu.
Apakah teropong ini hadiah hari jadi dari Ziana atau dari adik Ziana. Ini masih tidak jelas.
Apa yang jelas ialah orang ramai semakin marah kerana rakyat Malaysia tidak diberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Mengikut laporan akhbar Filipina - jumlah gerila ini bukan 40 orang, bukan 100 orang tetapi 400 orang. Gambar dari akhbar Filipina memperlihatkan bahawa gerila ini dililit oleh peralatan senjata moden. Gerila ini datang untuk mengancam.
Maka timbul persoalan hakiki. Apa tujuan memasang bendera ini? Siapa di belakang bendera ini?
Untuk memahami ini kita wajib mengambil kira PRU13 yang akan berlaku tidak lama lagi. Kita wajib mengambil kira bagaimana Suruhanjaya DiRaja Sabah tentang kad pengenalan palsu sedang bersidang di Kota Kinabalu. Kita juga wajib menyedari bagaimana ‘kilang undi haram dari Sabah' kini telah runtuh.
Kita juga wajib mengambil kira kepulangan Balasubramaniam. Kita juga wajib ambil kira saman Deepak terhadap Najib. Kita juga wajib ambil kira serangan Mahathir keturunan Iskandar Kutty terhadap Najib. Kita juga wajib ambil kira bagaimana Muhyiddin sedang merancang untuk menyahkan Najib dari kerusi PM.
Setelah mengambil kira semua ini maka jika Bendera Tercacak di Lahad Datu ini berterusan maka ianya pastilah baik untuk Najib. Bendera ini amat cemerlang untuk United Malays National Organsiation. Pada tahap ini tidak penting untuk kita mengetahui siapa yang memasang bendera ini. Yang penting bendera ini telah terpasang. Dan orang yang merancang untuk memasang bendera ini akan meraih keuntungan.
Bendera yang sedang terpasang di Lahad Datu ini cukup molek untuk dijadikan sebab musabab oleh Najib untuk menggantung pemilihan di Sabah. Memasang bendera saperti ini bukan sesuatu yang baru. Salah bendera ini telah digunakan untuk menjatuhkan PBS dan Pairin dalam tahun 1982.
Pada 1978 sejarah telah membuktikan bagaimana United Malays National Organisation memasang bendera salah di Kelantan. Kacau bin Bilau telah melompat-lompat berdemo di Kota Bahru. Akhirnya Dewan Undangan Negeri Kelantan di gantung dan Parti Pas tersingkir.
Bendera yang tercacak di Lahad Datu ini telah hampir tiga minggu. Dalam laporan Bernama pada 24 Februari yang lalu, Najib telah menerangkan bahawa dia menangguhkan PRU13 sehingga rancangan ‘transformasi' memperlihatkan hasil. Apakah Najib ini bodoh?
Apakah Najib sudah nyanyuk? Biji durian akan mengeluarkan hasil setelah lima tahun ditanam. Padi boleh dituai setelah tiga bulan ditanam. Jagung yang berbuah satelah empat bulan ditanam.
Mustahil ‘transformasi' ini akan memperlihatkan hasil dalam masa dua bulan. Sesuatu dasar akan dilihat ketrampilan dan kejayaan dalam masa 10 atau 15 tahun. Mungkin lebih lama. Rancangan Felda yang dirancang oleh pada tahun 1956 hanya berhasil 15 tahun kemudian.
Justeru soalan wajib ditanyakan: Apakah salah pasang bendera di Lahad Datu bertujuan untuk menimbulkan huru hara di Sabah? Dengan huru hara ini pilihan raya di Sabah di tangguh. Jika pilihan raya Sabah ditangguhkan maka Najib dapat menyelamatkan diri. United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dapat selamat dari gelombang ombak rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menghumbankan mereka semua ke dalam tong sampah sejarah.