OLEH: AMIRULMUKMININ
Seusai upacara angkat sumpah MB baharu Selangor sepatutnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat mengalihkan tumpuan ke arah usaha untuk memperkukuh gabungan itu. Pepatah Melayu ‘Buang yang keruh ambil yang jernih’ wajar diutamakan dalam beberapa bulan mendatang.
Sekurang-kurangnya, jika pemimpin tertinggi Anwar Ibrahim, Guan Eng dan Hadi lambat berbaik-baik, pemimpin yang lebih rendah atau anak muda yang tidak terlibat dengan pertelagahan politik di Selangor sudah boleh memulakan sessi dialog membina dan memperbaharui persahabatan.
Namun perkara sebaliknya ditunjukkan Naib Ketua Pemuda PAS Mohd Khairil Nizam Khiruddin yang seolah-olah mahu meneruskan keangkuhan pemimpin unity government (UG) PAS seperti Zuhdi, Tantawi, Zaharudin dan lain-lain. Kenyataan Khairil yang disiar oleh Sinar Harian online hari ini amat menyinggung serta mengocakkan kembali suasana reda dan tenang politik Selangor.
“Sejauh mana kesabaran kita, saya yakin dan percaya, apabila tiba masanya untuk kami keluar daripada PR, kami akan keluar," katanya dipetik.
Situasi ini menimbulkan pertanyaan rakyat apakah PAS akhirnya akan meninggalkan gabungan itu. Persoalan sebelum muktamar lalu benarkah PAS akan meninggalkan Pakatan, selepas ini mungkin ditulis dengan perkataan: ‘Benarkan PAS pergi!.’
Terdapat tanda-tanda puak UG dalam PAS mahu meneruskan projek mereka untuk membuktikan PAS adalah saudara kembar Hizbollah di Lubnan. Hizbollah walaupun parti berteraskan perjuangan Islam tetapi mendapat undi daripada puak sekular dan Kristian di sana.
PAS dengan 1 juta keahlian, bagi puak ulama, tidak lagi perlu bergabung dengan mana-mana parti untuk memerintah. Kelab penyokong Cina dan India cukup hebat dan mampu menangani pengundi bukan Islam.
Sekurang-kurangnya itulah visi pemimpin puak yang mendapat pendidikan di Mesir dan Jordan. Jangan terkejut sebahagian daripada mereka ini mempunyai garis fikiran ekstrem seperti ISIL di Iraq dan Syiria.
Namun, untuk survive dalam situasi politik Malaysia, ahli PAS wajib mengambil jalan perjuangan Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat yang sederhana dan praktikal. Bukannya mengikut jalan perjuangan ekstrem puak dari Mesir dan Jordan ini.
Nik Aziz juga mengaji di Mesir tetapi beliau sering bertolak ansur dan faham erti persahabatan bersama rakan-rakan politik. Nik Aziz memerhati terlebih dulu perkembangan politik tanah air, realiti dan risiko sebelum memikir bagaimanakah PAS akan bertindak dengan sebaik-baiknya.
Manakala pemikir dari Timur Tengah yang mengelilingi Hadi tidak mengambil pendekatan sedemikian. Mereka tanpa merujuk banyak perkara terus sahaja memutuskan sesuatu isu dengan pandangan agama yang sempit. Kemudian cuba memaksa keputusan yang tidak praktikal itu dengan mencari seberapa banyak hujah agama bagi mensucikannya.
Islam tidak pernah mengajar kaedah penyelesaian sedemikian. Pertentangan pendapat dibenar selagi tidak merugikan jemaah. Begitu juga strategi perkongsian kuasa seperti mana dalam Pakatan. Semuanya berpandukan realiti sekeliling.
Sekiranya ahli dan pemimpin PAS berada dalam perjuangan yang mementingkan hukum praktikal dan realiti maka apa yang berlaku di Selangor tentunya menggembirakan mereka.
Tetapi jika mereka mengambil jalan keras dan menganggap diri mereka sahaja yang betul maka tindakan meninggalkan Pakatan adalah yang terbaik buat PAS.
Malah pemimpin Pakatan pun tidak berminat sekiranya PAS duduk dalam gabungan dan berkhidmat sepenuh masa mencipta huru-hara agar PR gagal menjadi pesaing yang ampuh kepada BN dalam PRU 14.
Rakyat sudah cukup menderita dengan kenaikan harga barang, GST, minyak dan pelbagai lagi. Kini pemimpin PAS pula menambah derita rakyat dengan kerenah mereka.
Inikah parti yang akan menggantikan Hezbollah? Jika PAS di Lubnan pun belum tentu mereka boleh menggantikan Hezbollah dengan perjuangan lebih mengutamakan bangsa berbanding Islam sebagaimana ditunjukkan dalam perbahasan muktamar lalu.