Lebih 70 Peratus Bumiputera Hadapi "Masalah" Ekonomi

PETALING JAYA 23 OGOS : Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat mengalu-alukan kerajaan pemerintah mencontohi polisi ekonomi yang dibawa gagasan itu bagi membantu golongan yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Menerusi satu kenyataan media bersama Ahli Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat, Dr Dzulkefly Ahmad, Liew Chin Tong dan Tian Chua menyifatkan kerajaan pemerintah selama ini hanya berselindung di sebalik projek-projek mega walhal pencapaian negara amat sederhana pada waktu ini.

Menurut mereka, di sebalik keghairahan Najib dan pimpinannya membelanjakan ratusan bilion ringgit untuk projek-projek mega, masih ramai rakyat Malaysia yang menderita untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Untuk rekod, lebih daripada separuh iaitu 60 peratus daripada isirumah rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Daripada jumlah itu, 43 peratus daripadanya berhempas-pulas meneruskan kehidupan dengan pendapatan RM1,500 ke bawah setiap bulan dan 3/4 atau 73 peratus ialah dari kalangan Bumiputera.

Oleh itu, Pakatan Rakyat menerusi Bajet Alternatif 2012 menumpukan kepada aspek kebajikan rakyat yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan pemerintah demi projek-projek yang menguntungkan para kroni.

Dengan motto, Kesejahteraan Untuk Semua, bajet ini memberi penekanan yang khusus kepada kerja-kerja yang mengangkat martabat manusia, penggajian yang adil dan saksama serta peluang-peluang mencari rezeki untuk semua golongan rakyat terbanyak dan bukan hanya untuk golongan elit yang mempunyai jaringan pengaruh meluas.

"Ini secara langsungnya akan meningkatkan penggunaan domestik dalam satu cara yang mampan seperti pepatah Inggeris iaitu “air yang pasang akan mengangkat
kedudukan semua bot".

Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan, Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) telah ditugaskan untuk mengkaji langkah baru membantu meringankan kos sara hidup meningkat bagi yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 setiap bulan.

Ini ialah kali ketiga dalam satu bulan, kerajaan Barisan Nasional telah terpaksa memberi reaksi kepada pengumuman-pengumuman ekonomi oleh Pakatan Rakyat
dengan meniru cadangan-cadangan yang diutarakan.

Sehubungan itu, pengakuan oleh Husni dan kerajaan Barisan Nasional berhubung golongan pendapatan di bawah RM3,000 memerlukan bantuan adalah satu kenyataan yang mencerminkan kegagalan Barisan Nasional mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi selain gagal memikirkan nasib 60 peratus rakyat Malaysia dalam merangka polisi ekonomi mereka.

Pakatan Rakyat antara lain turut mengesa pemerintahan Umno-BN menghentikan amalan ekonomi berpaksikan kroni BN dengan menggantikannya kepada satu rangka kerja ekonomi berpaksikan rakyat.

Rangka kerja Bajet Pakatan Rakyat ini juga termasuklah mengurus cabaran-cabaran dasar berikut:

- Meningkatkan pendapatan dan produktiviti dengan memperkenalkan satu gaji minimum agar memecahkan lingkaran ganas produktiviti rendah, gaji rendah dan
kemahiran rendah.
- Meningkatkan pendapatan bolehguna dalam meningkatkan pendapatan melalui penyampaian perkhidmatan awam lebih efektif dan efisien dalam aspek kesihatan,
pengangkutan, perumahan dan beban hutang.
- Mengehadkan monopoli, oligopoli dan kartel dengan menggalakkan persaingan di sektor-sektor yang kini dikuasai oleh monopoli, oligopoli dan kartel.



No comments: