Dzulkarnain Abidin
Sikit-sikit aqidah. Semua benda nak dimasukkan ke dalam bakul aqidah. Seolah-olah agama ini hanya soal aqidah saja. Hanya hitam dan putih, kufur dan iman.
Betul, aqidah soal asas. Tapi kenapa semua urusan hidup dilihat dari sudut aqidah? Kenapa tak lihat dari sudut dakwah, komunikasi atau interaksi antara kaum dan agama?
Jika mahu dikaitkan dengan aqidah, kencing pun boleh dikaitkan. Misalnya, percaya keupayaan kencing terjadi sendiri, bukan dengan kehendak Tuhan.
Tapi takkanlah sampai ke tahap itu kita melihat urusan hidup kita? Kencing sajalah, istinjaklah. Untuk apa diheret kencing sampai ke urusan aqidah?
Janggal dengan cara sebahagian orang Islam berpegang dengan agama. Keras, kasar, tegas tak bertempat. Letaklah semua sikap itu di tempatnya yang betul dengan bimbingan ilmu.
Setakat penjelasan yang saya jumpa, dari sudut hukum, masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam adalah makruh. Hukum yang lebih keras adalah makruh tahrim. Tidaklah sampai jadi syirik.
Banyak rumah ibadat bukan Islam berubah menjadi masjid. Bagaimana proses itu boleh berlaku jika memasukinya adalah syirik?
Jika kita canang Islam paling tinggi, mengapa bimbang dengan sesuatu yang kita yakini rendah, sedangkan kita berada di tempat tinggi?