Dahulu, saya agak hairan apabila ramai rakyat yang suka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ternyata itu rupa-rupanya memang mindset kebanyakan rakyat kita. Hakikatnya, masyarakat kita lebih berbangga menjadi penerima berbanding penyumbang.
Dulu seingat saya arwah bapa saya pernah juga disenaraikan sebagai penerima bantuan untuk orang miskin. Saya tidak pasti sama ada di bawah skim zakat atau kebajikan masyarakat.
Namun, beliau menolaknya. Keluarga kami memang miskin. Tetapi bagi ayah saya, menerima bantuan sebegitu adalah satu yang sukar buat dirinya.
Baginya, dia masih mampu menyara keluarga dengan tulang empat kerat. Beliau fikir, masih ada orang lain yang lebih memerlukan bantuan itu. Bukan dirinya.
Saya juga teringat membaca satu artikel ramai orang di Eropah yang berjawatan tinggi dalam kerajaan berhenti kerja kerajaan sebelum waktu bersara untuk berniaga. Mereka sengaja mengelak kelayakan skim pencen kerajaan.
Bagi mereka skim pencen adalah skim yang membebankan kerajaan dan pembayar cukai. Satu cara untuk mereka membantu rakyat dan negara ialah dengan tidak mengambil skim pencen.
Biarlah skim pencen dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Mereka beranggapan dengan menerima skim pencen, ianya adalah perakuan terhadap ketidakmampuan diri sendiri untuk berdikari pada hari tua. Ianya merendahkan rasa self respect terhadap diri mereka sendiri.
Bagi mereka, mereka mampu berdikari untuk berusaha terus hidup tanpa membebankan kerajaan dengan mengambil dana dari skim pencen.
Mereka ada ilmu, ada pengalaman, dan ada keupayaan untuk berdikari. Mereka ada keyakinan diri yang tinggi. Mereka ada self respect.
Saya fikir, masyarakat kita masih sangat jauh lagi untuk berfikiran begitu. Kita adalah masyarakat yang bersorak gembira setiap kali mendapat pemberian dari kerajaan. Seolah-olah wang itu turun dari langit.