PAS WAJAR TARIK DIRI, JIKA BENAR ILTIZAM TUMBANGKAN BN MASIH SAMA



Dalam kedua-dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini, langkah terbaik yang harus diambil Pas ialah segera menarik diri dan mengumumkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan jika benar parti itu masih berhasrat ingin menumbangkan BN dan tidak ada keinginan tersirat mahu mengekalkan kuasa Najib Razak.

Hanya dengan berbuat demikian saja Pas dilihat benar-benar "bikin serupa cakap" dengan apa yang selalu dilaung-laungkannya selama ini.

Sejak keluar meninggalkan Pakatan Harapan, Pas dilihat berulang kali menafikan kerjasama partinya dengan UMNO, menyatakan tidak mahu bergabung, kekal ingin menumbangkan BN, ada pemimpinnya berjanji akan keluar parti jika "perkahwinan" kedua-dua parti menjadi kenyataan, sebaliknya dalam masa yang sama juga menawarkan diri menjadi penasihat, tidak mahu bermusuh dengan UMNO serta secara terbuka berbaik-baik dan meniru budaya UMNO.

Di ketika mengatakan mereka sekarang ini mengamalkan politik matang, sejahtera dan tiada dendam, tetapi serangan terbuka dengan bermacam-macam label terus juga ditujukan kepada DAP dan Amanah.

Nampaknya politik matang, sejahtera dan tiada dendam hanya terhadap UMNO saja, bukan kepada yang lain.

Dalam keadaan ini, Pas seolah-olah menjadi "parti dua alam" dan tidak ketahuan pendiriannya.

Kalau benar mahu menumbangkan BN sebagai matlamat besarnya, kenapa bertanding sendirian dan menolak perundingan dengan Pakatan Harapan?

Dahulu ketika masih berada dalam Pakatan Harapan, Pas selalu mengatakan kerjasama dengan DAP adalah perlu kerana ia melambangkan wajah sebenar kemajmukan kaum dalam negara, bahkan ia sama seperti perlunya UMNO bergandingan dengan MCA dan MIC.

Sudah lupakah Pas kepada hakikat tersebut?

Tanpa mendapatkan sokongan bukan Melayu, Pas bukan saja tidak akan menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bahkan mustahil dapat mencapai angan-angannya untuk menumbangkan BN.

Penampilannya secara sendirian, lebih-lebih lagi dengan tanjak, pakaian pahlawan Melayu dan menjulang keris, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, tidak lebih hanya memecahkan undi Melayu dalam blok pembangkang semata-mata.

Ia akan berbeza jika Pas menampilkan semua ciri-ciri itu tetapi bersama dengan Pakatan Harapan yang sudah dilengkapi semua kaum atau sekurang-kurangnya menunjukkan kesediaan untuk berunding dari segi merealisasikan hasrat satu lawan satu dengan BN.

Bertandingnya Pas dan bagaimana cara mereka berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar setakat ini seolah-olah ia dilakukan bukan untuk menang dan tidak juga mahu calon Pakatan Harapan menang. Tujuannya hanya ingin memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Ia juga bertentangan sama sekali dengan kenyataan ingin menumbangkan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Mungkin Pas masih malu untuk menyatakan secara terbuka untuk bekerjasama dan bergabung dengan UMNO kerana keinginan itu hanya berlaku di peringkat sebilangan pimpinan atasannya saja, manakala di peringkat bawahan, rata-rata masih selesa dengan pahala memusuhi UMNO dan kerajaan yang sudah ditarbiyahkan sejak sekian lama.

Sebab itu, setiap kali pendirian parti itu dipertikaikan, akan ada pimpinannya yang tampil menyatakan tidak akan bergabung, kekal ingin menumbangkan BN dan bermacam-macam lagi.

Hakikatnya, semua itu hanyalah lakonan pimpinan di peringkat atasan untuk menyejukkan hati dan perasaan ahli-ahli bawahan sahaja.

Jika benar Pas ingin sama-sama menumbangkan BN, mereka tidak perlu banyak berdrama dan berdolak-dalik. Pilihan mereka ialah berbaik semula dengan Pakatan Harapan dan membuka pintu rundingan untuk pertandingan satu lawan satu dengan pihak yang benar-benar bermusuh dengan UMNO serta mempunyai alternatif yang lebih diyakini untuk mengambil alih kerajaan sedia ada.

Sekali lagi, Pas secara sendirian tidak akan menang dalam pilihanraya kecil ini dan mustahil, mustahil serta mustahil  mampu mengambil alih kuasa dalam pilihanraya umum nanti.

Sebelum tarikh pembuangan undi pada 18 Jun ini, masih ada masa untuk Pas menarik diri jika benar hasrat menumbangkan BN itu benar-benar datang dari hati dan nawaitu yang tidak berbelah lagi - dulu, kini dan selamanya, seterusnya melangkah dengan gabungan lebih mantap menjelang PRU 14 akan datang.

Jika tidak, perjuangan Pas akan terus menjadi cemuhan, jati dirinya dipertikaikan dan jangan marah kiranya turut dikaitkan dengan suapan dedak juga. (SH 08/06/2016).

SELEPAS MENANG NAK JADI APA?


Tidak dinafikan, ini adalah antara cakap-cakap yang biasa didengari di sekitar Kuala Kangsar sejak Mastura Mohd Yazid dinamakan untuk bertanding menggantikan tempat arwah suaminya, Wan Khairi-il Wan Ahmad yang terbunuh dalam nahas helikopter, 5 Mei lalu.

Jika ditakdirkan menang, beliau mahu dijadikan apa pula?

Ketua UMNO Bahagian? Timbalan Ketua UMNO Bahagian? Naib Ketua UMNO Bahagian?

Atau Ketua Wanita UMNO Bahagian? (SH 08/06/201