Berjuang Kerana Rakyat, Bukan Perjuangan Kerana Anwar - Chegu Bard

Dalam pemilihan jawatan tertinggi PKR tahun lalu Zaid Ibrahim, Mustafa Kamil dan Badrul Hisham Shaharin lantang mempersoalkan beberapa salah urus dalam tatacara pemilihan secara langsung yang dilaksanakan. Namun tiga bulan selepas itu mengejutkan, N Gobalakrishnan pula yang keluar parti. Sedangkan tidak banyak yang dipersoalkan beliau sehinggalah kongres PKR Disember lalu di mana Gobala tidak puas hati dengan perlantikan N Surendren sebagai Naib Presiden.

Bagaimanapun Badrul Hisham yang vokal masih setia bersama PKR dan akan terus mendukung perjuangan parti itu. Ikuti temubual wartawan Suarapakatandaily, menyelongkar prinsip perjuangan Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard.

Chegu Bard (dua dari kanan) ketika mengumumkan kesediaannya bertanding kerusi Ketua AMK tahun lalu.


SP: Cikgu beberapa kali mempersoalkan sistem pemilihan PKR yang turut dikritik oleh beberapa pimpinan tertinggi. Namun Gobalakrishnan yang menerima sepucuk surat tunjuk sebab awal bulan lalu pula yang merajuk dan terus meninggalkan parti. Bagaimana pendapat cikgu?

Badrul: Gobala jika dia sayang parti, dia kena ingat PKR bukan milik individu. Dia boleh salahkan sesiapa pun, namun parti ini milik rakyat. PKR ditubuhkan atas inspirasi kebangkitan rakyat. Seharusnya kalau dia tidak puas hati dia kena lawan di dalam parti, bukan meninggalkannya dan memang ada ruang (dalam parti) untuk itu.

Saya juga ada perkara tidak puas hati, misalnya dalam isu penyelewengan pemilihan. Tetapi saya mempergunakan segala ruang yang ada untuk mencari keadilan dan menyelesaikan masalah ini.

Bagi saya apa yang Gobala buat adalah salah. Bagaimanapun parti harus juga meneliti kenapa perkara ini berlaku, dan perkara ini bukanlah tidak boleh dielakkan.
SP: Gobala tidak puas hati dengan pemilihan PKR dan perlantikan jawatan. Cikgu juga melalui situasi yang sama tetapi tidak bertindak sejauh Gobala

Badrul: Betul. Tidak puas hati. Tetapi gunakan segala ruang dalam parti. Buat desakan. Tidak ada jawatan dan ditipu dalam pemilihan parti seharusnya tidak memadamkan perjuangan menumbangkan Umno-BN.

Saya terus bergerak. Pilihanraya yang baru lepas di Tenang dan insyallah di Merlimau Melaka. Kita berjuang dalam segala ruang yang ada untuk menjatuhkan BN, hal itu kita tidak kompromi. Hakikatnya Gobala tidak harus keluar kalau dia anggap parti ini milik rakyat. Kecuali dia sendiri tidak iktiraf parti ini sebagai parti rakyat. Itu terpulang pada dia. Bagi saya parti ini kepunyaan rakyat dan perjuangan harus di dalam parti ini.

SP: Mungkinkah Gobala akan menyertai parti KITA yang dipimpin Zaid Ibrahim kerana beliau hadir semasa perasmiannya

Badrul: Itu terpulang kepada dia. Apa yang saya khuatir satu sahaja. Perjuangan kalau kita sandarkan kerana individu kita akan kecewa. Kali ini kerana individu dalam PKR dan dia (Gobala) juga boleh kecewa dalam parti lain kerana (faktor) individu.

Jadi dia kena sedar perjuangan ini dia tampil kerana apa. Kalau dia pernah menyebut dia ke depan kerana Anwar Ibrahim. Akhirnya dia kecewa kerana Anwar Ibrahim. Prinsip itu tidak betul. Kita harus ke depan kerana pembelaan rakyat terbanyak. Kezaliman yang berlaku. Hal (korupsi) itu sudah dijawab atau belum? Oleh itu kita perlu terus berjuang.

SP: Adakah cikgu juga diberi surat tunjuk sebab

Badrul: Setakat ini saya tidak dapat apa-apa surat tunjuk sebab dan saya juga tidak dapat surat balasan dari aduan saya

SP: Gobala pemimpin masyarakat India yang sekian lama berjuang dan pernah diberi jawatan tinggi dalam PKR. Adakah pengundurannya akan memberi kesan terhadap sokongan masyarakat India kepada parti

Badrul: Bagi saya keluar dan masuk parti perkara biasa. Parti bukan agama. Tetapi hakikat parti juga harus menyedari apa yang disuarakan di bawah. Parti harus connect dengan anggota dan rakyat di bawah. Parti harus menangani isu secara berani dan terbuka.

Sebab itu saya katakana, kerana saya sayangkan parti, saya terus mendesak dan menegur. Juga kerana saya sayangkan negara. Saya yakin parti ini mampu mengambil alih negara suatu ketika nanti. Kerana itu PKR harus menjadi sesempurna mungkin untuk ambil alih kerajaan.

Bersatu, sapu bawah karpet untuk pergi ke Putrajaya tidak ada bezanya dengan bersatu, sapu bawah karpet untuk pertahan Putrajaya. Tetapi asasnya, keyakinan saya bahawa PKR adalah platform yang terbaik yang kita ada. PKR dan Anwar merupakan ikon penggempur BN yang terbaik setakat ini yang kita ada. Dan kerana itu saya terus berada di sini kerana fokus menumbangkan Umno-BN dan merobah kerajaan. Kerana segala bentuk kezaliman dan penindasan dalam negara sudah tidak boleh diperbaki lagi kecuali dengan menukar kerajaan

SP: Bagaimana dengan tuduhan mengatakan PKR berjuang hanya untuk Anwar. Bukankah perjuangan membela Anwar yang dizalimi telah diterima sejak zaman Reformasi

Badrul
: Itu tidak sepenuhnya tepat. PKR tertubuh kerana manifestasi kezaliman pada Anwar. Kezaliman sudah berlaku lama tetapi (kes) Anwar memperlihatkan secara jelas kezaliman itu. Bagaimana dia boleh diperlakukan sebegitu tupa. Ia bukan semata-mata kerana Anwar ditipu dalam mahkamah. Tidak.

Kezaliman dalam bidang kehakiman telah lama wujud. Kemuncaknya ialah kes Anwar. Demokrasi dihancurkan. Digambarkan secara jelas kepada kita. Kita berlawan kerana masalah rakyat dan penyatunya adalah kes Anwar. Sama juga seperti sekarang (fitnah liwat 2) ikonnya Anwar tetapi pembelaannya, perjuangannya adalah rakyat.