Pemuda PAS gesa JPA tangguh SBPA, terima rintihan Cuepacs


December 16,

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Pemuda PAS menggesa kerajaan tidak tergesa-gesa dalam pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mahu ia dikaji semula dengan melihat kesan dan keberkesanannya supaya kepentingan kakitangan awam terpelihara.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda PAS Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pihaknya bersetuju dengan gesaan Cuepacs supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan SBPA agar perbincangan dapat dibuat.

SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini.

“Pemuda PAS juga meminta kakitangan awam supaya menangguhkan dulu menandatangan borang opsyen sebelum perbincangan dan keputusan dibuat oleh kerajaan berhubung isu ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, Pemuda PAS memandang serius tindakan Cuepacs yang semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA kerana didakwa kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu.

Katanya, Pemuda PAS menganggap bantahan Cuepacs yang mewakili 1.4 juta kakitangan awam adalah berasas dan kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap tuntutan atau bantahan yang telah dikemukakan.

“Cuepacs pula telah menyatakan keputusan bantahan tersebut melalui mesyuarat kongres khas (semalam) dengan undian 125 orang perwakilan mereka.

“Ini menunjukkan keseluruhan ahli Cuepacs atau keseluruhan penjawat awam di negara ini tidak bersetuju tindakan kerajaan melaksanakan SBPA,” kata beliau.

“Pemuda PAS melihat polisi ini boleh menimbulkan kecelaruan dan dianggap menganiaya pekerja sektor awam.

“Tambahan pula dasar ini boleh disalahgunakan untuk tujuan tertentu, terutamanya politik,” katanya sambil menambah, ia boleh terdedah kepada pelbagai manipulasi kerana kuasa menentukan kenaikan pangkat dan markah prestasi ditentukan oleh kakitangan atasan.

Selain itu, katanya, banyak item dalam SBPA yang mengundang pertikaian banyak pihak, khususnya penjawat awam.

Antaranya skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun, kata beliau.

“Di samping itu dasar pemisah juga tidak jelas dan menimbulkan pertikaian,” katanya lagi.

No comments: