Umno tekan Deepak untuk jatuhkan Najib?


Umno tekan Deepak untuk jatuhkan Najib?


KUALA LUMPUR 29 November: KEADILAN percaya kenyataan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berhubung peranannya dalam akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) didorong oleh tekanan pihak Umno yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak menolak kemungkinan kempen memburukkan imej Najib itu sengaja diatur sempena Perhimpunan Agung Umno.

“Kemungkinan besar (ia berlaku) memandangkan wawancara dibuat ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Lagipun Deepak sejak dahulu bukanlah bersama kita,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Shamsul, ia dikuatkan lagi apabila Presiden Umno ketika taklimatnya dalam perhimpunan itu meminta ahli Umno bersatu dan tidak mengkhianati parti.
“Ini menunjukkan wujud perpecahan dan perebutan kuasa dalam Umno,” katanya.

Deepak yang juga kawan baik Rosmah Mansor dalam wawancara Malaysiakini menyatakan kekesalannya ekoran terlibat dalam mengaturkan akuan bersumpah (SD) kedua Bala.
Antara lain, Deepak mendedahkan, SD kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Bala, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaaribuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.
Memetik wawancara sama, Deepak turut mengaku membayar sejumlah wang kepada keluarga Najib pada 2007 agar Najib, Menteri Pertahanan ketika itu campur tangan bagi membolehkan beliau mengambil bahagian dalam satu projek kementerian itu.

Mengulas kenyataan tersebut, Shamsul menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas dan menilai pendedahan Deepak dengan bertanggungjawab.
“Polis perlu ambil sikap tegas. Panggil Deepak ambil keterangan beliau dan minta maklumat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang buat siasatan sebelum ini,” kata Shamsul.

12 April 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan SPRM mengambil keterangan Deepak dan adik Najib, Datuk Nazim Razak berkenaan akuan bersumpah Bala itu.
Bala sebelum ini menggemparkan negara apabila pada 3 Julai 2009 muncul di ibu pejabat KEADILAN dan mengumumkan akuan bersumpahnya mengaitkan Najib (waktu itu Timbalan Perdana Menteri) dengan Altantuya.

Bagaimanapun keesokannya pula, dia menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua pada sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri ke luar negara bersama keluarga.
Beliau juga pernah mendakwa keluarga Perdana Menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.


Bala mendakwa bahawa Deepak memainkan peranan dalam menggesa penyiasat persendirian itu supaya menarik balik akuan bersumpah yang mengaitkan Perdana Menteri.
Malah beliau juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim bagi menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu.