Mahasiswa merupakan satu
entiti dalam sebuah masyarakat sivil yang tidak sepatutnya dikekang
suaranya, dirantai pemikirannya dan dilumpuhkan aksinya. Sebaliknya
mahasiswa harus dibiarkan bebas beridea, mengkritik malah menyuarakan
pendapat mereka secara bebas.
Hari ini kita dapat menyaksikan bahawa AUKU 1974 atau nama
penuhnya Akta Universiti Kolej Universiti merupakan satu akta yang
sekian lamanya membelenggu mahasiswa dari menjadi seorang yang kritis
dan kritikal. Kewujudan HEP yang lahir sejak akta ini diluluskan sedikit
sebanyak menghalang aktivisme mahasiswa yang kritis dan kritikal.
Dahulu sebelum tahun 1974 mahasiswa sering berada di
jalanan. Mereka bersuara demi kebajikan masyarakat. Sejarah membuktikan
bagaimana Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) memperjuangkan
nasib penduduk Baling yang dihimpit kemiskinan, mahasiswa memperjuangkan
nasib penduduk Teluk Gong yang dirampas tanah mereka oleh pihak yang
tidak berhati perut. Mahasiswa turun ke jalan raya, berdemostrasi
menuntut kerajaan supaya berfikir dengan waras dan berhati perut.
Rentetan dari peristiwa demonstrasi mahasiswa ini, kerajaan
telah menubuhkan satu akta yang menyekat aksi dan idea mahasiswa dan
akta itu ialah AUKU 1974. Penubuhan akta ini mengakibatkan perubahan
struktur pentadbiran universiti. Dahulunya kebajikan hal ehwal pelajar
diuruskan oleh persatuan mahasiswa yang dipilih oleh mahasiswa
digantikan oleh badan Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Badan HEP inilah yang menjadi pendokong kepada AUKU yang
menyekat idea serta aksi mahasiswa yang sebelum ini bergelut dengan
masalah masyarakat dan rencam permasalahan sosial Negara ini. Sesiapa
bersuara akan diancam, siapa yang beridea lain dari acuan kerajaan
dianggap ancaman, siapa yang kritis dan kritikal dianggap subversif dan
mengancam keamanan.
Akta (AUKU) ini seringkali dikaitkan sebagai satu usaha
murni kerajaan untuk memudahkan mahasiswa. Semenjak kewujudan badan HEP
mahasiswa tidak lagi perlu risau akan kebajikan mereka. Jika dahulunya
kebajikan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa, kini badan HEP yang
menguruskannya. Apabila mahasiswa kritis dan kritikal menyuarakan
permasalahan masyarakat akan dituduh sebagai pembangkang yang subversif
dan mengancam keamanan.
HEP mencandukan mahasiswa dengan idea bahawa universiti
adalah hanya tempat menuntut ilmu bukanlah tempat untuk berpolitik dan
memikirkan masalah masyarakat. Ini amat bertentangan dengan konsep
universiti sebagai gedung ilmu. Apakah ertinya jika ilmu yang diterima
di universiti tidak dapat diaplikasikan? Bukan sahaja mahasiswa, malah
pensyarah turut dikunci mulutnya dan dirantai idea-idea mereka.
Kesimpulannya, kewujudan AUKU 1974 dan badan HEP adalah
projek pembodohan tirani yang menyekat idea serta suara mahasiswa.
Bukanlah akta ini mahu memudahkan mahasiswa serta mengekang mahasiswa
menyertai pembangkang dengan alasan mahasiswa tugasnya hanya belajar
bukan berpolitik. Ini adalah candu yang diberikan kepada mahasiswa agar
khayal di dalam dunia ekslusif mereka, belajar di dalam dewan berhawa
dingin serta biasiswa yang lumayan tanpa memikirkan masalah masyarakat.
Sebenarnya AUKU dan HEP adalah projek pembodohan yang
menghalang mahasiswa dari kritis dan kritikal membahaskan polisi
kerajaan dan turun menentang penindasan. Sebenarnya mereka bukan takut
mahasiswa menyertai parti pembangkang tetapi mereka mahu membunuh sikap
kritis dan kritikal mahasiswa yang seringkali berlainan pendapat.
Hasilnya mahasiswa menjadi “pak angguk” yang takut bersuara
secara kritis dan kritikal, mahasiswa menjadi mandom (baca lesu), tidak
progressif malah takut untuk berfikir melampaui kotak serta menelan
segala apa yg dimuntahkan oleh pensyarah di universiti tanpa usul
periksa dan ragu ragu.
Hari ini masih ada mahasiswa yang lantang bersuara dan
lantang menyuarakan keperitan masyarakat, tetapi sekali lagi AUKU dan
HEP mahu mencantas mereka ini. Jumaat ini 8 orang mahasiswa dari
Universiti Malaya iaitu Fahmi Zainol yang merupakan presiden PMUM
(Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya), Khairol Najib Hashim presiden
PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya), Safwan Shamsuddin
pengerusi Pro M UM (Pro Mahasiswa Universiti Malaya), Yu Sheng Long ahli
PMUM, Adam Fistival Wifrid ahli PMUM, Abraham ahli PMUM, Syamimi Munira
Mohamed ahli PMUM dan Khairul Anwar ahli PMUM akan dikenakan tindakan
tatatertib dan dihadapkan ke mahkamah universiti kerana membawa masuk
Anwar Ibrahim untuk berucap di Universiti Malaya baru-baru ini. Mereka
juga berjuang mempertahankan Kampung Chubadak Tambahan yang dirampas
tanah mereka baru-baru ini.
Adakah ini tidak membunuh generasi yang kritkal dan kritis?
Adakah ini tidak membunuh pelapis kepimpinan Negara? Mereka ini adalah
mahasiswa yang lantang ke depan mendepani isu rakyat tanpa mengira kaum
dan agama. Adakah kita rela universiti terus dikongkong AUKU dan HEP
dengan usahanya yang mengekang idea dan suara mahasiswa? Mahasiswa
adalah tulang belakang dan pelapis kepada kepimpinan Negara.
Pemimpin datang dan pergi. Apakah kita mahu dipimpin oleh
mereka yang penakut serta tidak kritis dan kritikal ideanya? Di manakah
hala tuju pendidikan Negara? Suarakan pendapat kalian dan sokonglah
perjuangan mahasiswa bagi membentuk sebuah masyarakat sivil.
**Muhammad Ashraf adalah mahasiswa dan aktivis di Kelab Bangsar Utama (KBU)