TI-M : Jawatankuasa Khas Parlimen Perlu Fokus Selesai Masalah Pilihan Raya


SHAH ALAM 17 OGOS : Dalam usaha melakukan pembaharuan pilihan raya, Tranparency International Malaysia (TI-M) menyambut baik keputusan Perdana Menteri berhubung penubuhan jawatankuasa khas parlimen yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Presiden TI-M, Datuk Paul Low berkata, jawatankuasa khas terbabit yang melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang merupakan satu langkah positif untuk mengkaji semula sistem pilihan raya di negara ini dan pada masa sama boleh melakukan penambahbaikan pada sistem sedia ada.

Menerusi satu kenyataan media, Paul Low bagaimanapun berkata, jawatankuasa khas tersebut haruslah diberi mandat dan kuasa untuk mengesyorkan semua tindakan yang perlu bagi memastikan pilihan raya di Malaysia dijalankan secara bebas, adil dan telus.

"Bagi memastikan adil, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu satu kriteria penting.

"Lantaran itu, TI-M percaya bahawa ia adalah penting untuk jawatankuasa berkenaan mengembalikan keyakinan awam terhadap proses pilihan raya di negara ini,"katanya.

Dalam pada itu, Paul berkata langkah berkenaan juga akan meredakan politik reformasi pilihan raya dengan memastikan pihak berkaitan terbuka dalam perbincangan berhubung penyelesaian masalah yang bersangkutan dengan proses pilihan raya di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penglibatan langsung semua pihak yang berkepentingan semasa perbincangan jawatankuasa juga adalah penting untuk memastikan bahawa kajian semula yang menyeluruh mengenai semua perkara yang berkaitan dengan pilihan raya dapat disempurnakan dengan baik.

Pada Mei 2011, TI-M telah menyerahkan memorandum kepada Najib Razak yang merujuk kepada Pembaharuan Pembiayaan Politik di Malaysia.

Antara 22 syor TI-M yang disarankan ialah reformasi segera meningkatkan autonomi dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memperkenalkan pembiayaan negeri bagi parti-parti politik, memperkenalkan peraturan untuk melaporkan pembiayaan politik, pendedahan sepenuhnya parti politik dan pembiayaan calon serta mengawal selia sumbangan derma politik.

Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji cadangan-cadangan bagi mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

Tindakan Najib itu sebahagiannya dilihat ekoran desakan berterusan reformasi pilihan raya yang mencapai kemuncaknnya melalui perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu dan isu-isu yang membabitkan keselamatan negara terutamanya pemberian hak kerakyatan kepada warga asing tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat semalam mengemukakan tujuh syarat sebelum menyokong jawatankuasa itu termasuk melantik pemimpin pembangkang untuk mengetuainya.

No comments: