Nurul Nuha dan kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ (Bahagian 1)

Nurul Nuha dan kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ (Bahagian 1)

IMG_8559
Nurul Nuha, 31, anak kedua Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyangka mimpi ngeri berulang sekali lagi menimpa keluarganya akibat rekayasa dan pertuduhan fitnah.
Namun, ibu kepada dua anak ini menegaskan, pemenjaraan lima tahun ke atas Anwar seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan tanggal 10 Februari lalu tidak lain adalah kerana kelantangan bapanya menentang ketidakadilan, salahguna kuasa, rasuah dan penindasan pemerintah UMNO-BN.
Justeru itu, graduan Ijazah Teknologi Seni dan Tampak dari Universiti Georgemason, Amerika Syarikat ini berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai anak bagi mengepalai kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ (March To Freedom)‘ bagi menuntut pembebasan bapanya.
Ikuti temubual eksklusif Roketkini.com bersama Nurul Nuha Anwar yang dibuat 5 Mac lalu.

IMG_8696Bagaimana reaksi orang ramai sepanjang hampir sebulan kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’?

Alhamdulillah. Reaksi penyokong dari dalam dan luar negara amat-amat menggalakkan. Setakat ini kita mendengar begitu banyak kritikan mengenai kes Anwar dari pemimpin di luar negara termasuk dari United Kingdom, Australia, Jerman. Ini kerana Anwar memiliki pengaruh, manakala hukuman ke atasnya jelas mengenepikan sistem keadilan.

Kami juga telah bertemu dengan Duta dari pelbagai negara. Mereka prihatin dengan kes Anwar. Beliau telah disifatkan sebagai tahanan politik. Malah, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) turut membincangkan kes ini. Kami juga akan akan adakan perjumpaan dengan mereka. Kakak, Nurul Izzah, banyak mengendalikan pertemuan.
Dari segi sokongan di luar negara, memang tak pernah sedikit. Malah di ruang media sosial semakin meningkat.

Ada yang menyatakan bahawa kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ hanya semata-mata kerana isu Anwar. Apa pandangan saudari?

Tak dinafikan bahawa tuntutan lain turut penting. Sistem (pentadbiran) di Malaysia semakin menekan dan hal berkenaan peminggiran sistem keadilan menjadi isu besar di Malaysia. Kehakiman (yang pincang), penggunaan Akta Hasutan (dilakukan) hanya kerana rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.
Anwar, memperjuangkan hak kita sebagai rakyat. Akibatnya, dia dihumban ke dalam penjara oleh rejim. Saya pasti rakyat sudah tahu perkara ini. (Sebab itu) apa yang dikatakan oleh mereka – bahawa kempen ini melangkaui isu Anwar (semata-mata).

Agenda Reformasi mesti diteruskan. Mereka (orang ramai) bukannya hendak mengenepikan kes Anwar. Kita jangan lupa bahawa 52 peratus undi popular menyokong kita (Pakatan Rakyat).

Kempen yang digerakkan sudah tentu mencukai masa dan ruang bersama keluarga. Adakah saudari tidak terasa penat? Bagaimana dengan anak-anak dan suami?

Penat tak mengapa. Sebab, bukannya kita yang berada dalam penjara. Saya ada dua anak kecil. Semalam, saya keluar tak lama. Anak saya Sulaiman berkata “Sulaiman takut nanti ada orang nak ambil Mama” (Saya tanya) “Siapa nak ambil Mama? “Orang yang nak ambil Atuk” Saya rasa sedih juga. Anak saya berumur setahun dan tiga tahun.
IMG_8668 (1)Ya, rasa sedih memang ada. Ini tak boleh dinafikan. Kerana ini kali kedua ayah kami ditahan sebagai tahanan politik. Kami sentiasa berazam untuk sentiasa menguatkan diri. Kena berdoa dan berusaha untuk memperjuangkan pembebasan ayah. Perjuangan ini bukan hanya untuk ayah saya – tetapi perjuangan untuk pembebasan.

Suami sangat menyokong. Dia juga ikut program bersama. Keluarga kami memang memberi galakan yang teguh dan padu. Saya seorang ibu dan ada dua anak. Saya sayang pada anak. Sebab itu saya memahami bagaimana sayangnya ibu-bapa saya kepada kami.

Anwar dipenjara pada 1999. Anwar dipenjara lagi pada 2015. Suasana sudah tentu berbeza. Namun, kali ini saudari menerajui kempen pembebasan.

Ayah saya adalah tahanan politik. Apa yang kami tak tahu pada masa itu. Sebab semuanya masih muda. Kakak, Nurul Izzah, ketika itu berusia 18 tahun. Dia telah lakukan banyak perkara dan membela keluarga. Kami kena buat. Ini bukan sahaja peranan saya, tetapi seluruh keluarga saya. Apa yang saya lakukan juga adalah bagi pihak keluarga.

Saya rasa orang kena faham. Kami ada sokongan berterusan untuk 17 tahun. Bukan sahaja sokongan dalam bentuk (kehadiran) fizikal, tetapi juga sokongan dalam bentuk kempen media sosial di twitter FB dan lain-lain.

Minggu lalu permohonan pengampunan ke atas Anwar dibuat kepada Yang Dipertuan Agong. Ada yang tidak bersetuju dengan langkah ini kerana cenderung dilihat sebagai pengakuan bersalah. Siapa mencadangkan tindakan ini?

Kami berbincang dan keputusan ini dari keluarga sendiri. Sudah tentu perbincangan ada. Kami membuat penelitian (berkenaan tindakan mohon pengampunan) Ini bukan pengakuan bersalah. Tetapi dalam petisyen itu adalah berdasarkan Artikel 42. Dalam petisyen mengatakan bahawa ayah kami tak bersalah, sebaliknya (beliau dipenjarakan) akibat sistem kehakiman yang pincang.

Difahamkan, kempen petisyen pembebasan Anwa secara dalam talian turut dilancarkan. Apa perkembangan terkini?

Sekarang sasaran kami hendak mencecah 100,000 tandatangan. Kami ada beberapa petisyen, termasuk kepada White House, AS. Beberapa (petisyen) lagi akan dilancarkan. Saya baru dimaklumkan oleh YB Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Subang) bahawa sesiapa sahaja rakyat Malaysia boleh menulis petisyen dan menyerahkannya kepada Yang Dipertuan Agong.

Katakanlah, kerusi parlimen Permatang Pauh akan dikosongkan. Justeru itu pilihanraya kecil terpaksa dibuat. Dilaporkan oleh beberapa media yang menjangkakan bahawa saudari akan bertanding di kerusi tersebut.

Buat masa ini pengosongan kerusi Parlimen tidak ada lagi. Kerusi P44 Permatang Pauh masih lagi kekal dipegang oleh Anwar. Fokus kami terlebih dahulu adalah kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ (March 2 Freedom)

Parti ada keputusan sendiri dan mempunyai sekretariatnya sendiri. Pakatan Rakyat melakukan kerja yang bagus. Pemimpin bercakap, menyatakan keprihatinan. Mereka turut anjurkan program.
Pakatan Rakyat ada ramai pemimpin muda. Namun, saya rasa lebih penting sekarang ini fokus kepada perjuangan membebaskan ayah saya.

Selain kempen melalui kempen tandatangan, petisyen dan sebagainya, sebagai penyelaras kempen ‘Berarak Untuk Kebebasan’ (March 2 Freedom), apa rancangan saudari?

Kami ada rancangan tertentu untuk ke beberapa negeri dan negara. Tetapi tidak akan dimaklumkan dahulu. Ini kerana sebelum ini telah beberapa kali disabotaj. Baru-baru ini emel Nurul Izzah digodam oleh cybertrooper. ‘Mereka’ mula bertindak. Jadi kali ini kami lebih matang. Dan kami tahu (ada) rancangan jahat. Hal sabotaj itu kami dah pandai sedikit berdasarkan program yang dibuat dulu.

Berarak untuk kebebasan (March To Freedom) adalah inisiatif keluarga. Contohnya, saya berjumpa dan turun padang bertemu penyokong. Manakala Ehsan di New York. Sebelum ini adik saya Nuru Iman menjelajah hampir ke seluruh Johor.

Baru-baru ini turut diadakan forum di Columbia University untuk menekankan isu Anwar dan beberapa masalah lain yang berlaku di Malaysia. Ayah kami telah ditahan dua kali. Kami takkan duduk sahaja.
Kami telah memikirkan sebarang kemungkinan dan kami memiliki keyakinan. Dalam perjuangan perlu ada keyakinan.

IMG_8604Saban minggu anak muda, aktivis NGO, dan mahasiswa menganjurkan himpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur. Apakah ini sebahagian dari stategi kempen ‘Berarak Untuk kebebasan (March To Freedom)?

(Isu) Anwar Ibrahim (hanya) sebagai pencetus. Tetapi ada hal lain yang perlu diangkat. Saya antara termasuk generasi baru yang memberi sokongan padu kepada usaha orang-orang muda.
Anak-anak muda lebih idealistik. Mereka ada rancangan yang menyeluruh. Mereka lebih arif serta tersusun. Mereka berbincang apa yang harus dilakukan. Menakjubkan.

Mereka juga ada banyak masalah sukar yang perlu ditempuhi. Antaranya, isu kesukaran mendapat pekerjaan. 25 peratus graduan sukar mendapat pekerjaan dalam masa dua tahun selepas tamat pengajian.
Manakala yang sudah bekerja, sukar membeli rumah kerana mahal. Isu-isu seperti ini yang mesti diketengahkan. Ini yang membuat anak muda tertekan.

Sebagai contoh kes Fahmi Zainol yang digantung dua semester hanya kerana menganjurkan himpunan ‘Dari UM Ke Penjara’. Selain itu kes Adam Adli, dan penangkapan Nik Nazmi. Manakala polis menakut-nakutkan dan mengancam. Ini amat tidak boleh diterima.

Anak-anak muda adalah harapan Malaysia. Pendidikan penting. Kerajaan takut kepada rakyat yang terpelajar.
(Bersambung ke bahagian kedua)

No comments: