𝗕𝗘𝗧𝗨𝗟𝗞𝗔𝗛 𝗧𝗜𝗗𝗔𝗞 𝗖𝗨𝗧𝗜 𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗝𝗨𝗠𝗔𝗔𝗧 𝗞𝗨𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗜𝗦𝗟𝗔𝗠𝗜𝗞?



✍️ Ahmad Mursi  


1.  Bagi negeri-negeri yang menetapkan cuti pada hari Jumaat untuk memudahkan solat Jumaat, itu langkah yang baik. 


2.  Namun, tidak tepat untuk mengatakan bahawa negeri tersebut lebih "Islamik" berbanding negeri-negeri lain yang menetapkan cuti pada hari Ahad. 


3.  Firman Allah SWT: "𝘞𝘢𝘩𝘢𝘪 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨-𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘦𝘳𝘪𝘮𝘢𝘯! 𝘈𝘱𝘢𝘣𝘪𝘭𝘢 𝘥𝘪𝘴𝘦𝘳𝘶 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘮𝘦𝘯𝘶𝘯𝘢𝘪𝘬𝘢𝘯 𝘴𝘰𝘭𝘢𝘵 𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘩𝘢𝘳𝘪 𝘑𝘶𝘮𝘢𝘢𝘵, 𝘮𝘢𝘬𝘢 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘦𝘨𝘦𝘳𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘢𝘮𝘶 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘪𝘯𝘨𝘢𝘵𝘪 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝙩𝙞𝙣𝙜𝙜𝙖𝙡𝙠𝙖𝙣𝙡𝙖𝙝 𝙟𝙪𝙖𝙡 𝙗𝙚𝙡𝙞" (Surah Al-Jumu'ah: 9), yang menunjukkan bahawa umat Islam juga terlibat dalam perniagaan atau pekerjaan pada hari Jumaat. 


4.  Kemudian Allah berfirman lagi: "𝙎𝙚𝙩𝙚𝙡𝙖𝙝 𝙨𝙚𝙡𝙚𝙨𝙖𝙞 𝙨𝙤𝙡𝙖𝙩, 𝙢𝙖𝙠𝙖 𝙗𝙚𝙧𝙩𝙚𝙗𝙖𝙧𝙖𝙣𝙡𝙖𝙝 𝙠𝙖𝙢𝙪 𝙙𝙞 𝙢𝙪𝙠𝙖 𝙗𝙪𝙢𝙞, 𝙙𝙖𝙣 𝙘𝙖𝙧𝙞𝙡𝙖𝙝 𝙠𝙪𝙧𝙣𝙞𝙖 𝘼𝙡𝙡𝙖𝙝" (Surah Al-Jumu'ah: 10). 


5.  Maksudnya, setelah solat Jumaat, umat Islam dianjurkan untuk kembali melakukan aktiviti seperti berniaga, bekerja, atau mencari rezeki yang merupakan 'kurnia Allah', yang merujuk kepada manfaat duniawi dan ukhrawi (Tafsir Ibn Kathir). 


6.  Dalam Islam, ibadah khusus itu penting, namun mencari nafkah juga adalah satu kewajiban yang penting bahkan menjadi satu ibadah jika niatnya baik.


7.  Ini tidaklah menafikan kepentingan Hari Jumaat buat umat Islam sebagai penghulu segala hari, hari mustajab doa, dilipatgandakan pahala amalan, dan juga hari di mana kiamat akan berlaku, serta kelebihan-kelebihan lain.


8.  Islam tidak seperti sebahagian penganut agama Yahudi atau Kristian (tidak semua) yang melarang sebarang bentuk kerja dan mengkhususkan hari Sabat (dari gelincir matahari Jumaat hingga gelincir matahari Sabtu) atau Ahad untuk ibadah.


9.  Islam memudahkan dalam soal pemilihan hari cuti, dan ini hanyalah berkaitan dengan Siasah Syariyyah yang melihat kepada maslahah (kepentingan umum) yang telah ditentukan oleh pihak pemerintah. 


10.  Di Johor khasnya, terdapat juga rungutan mengenai waktu cuti yang berlainan antara suami, isteri, dan anak-anak, lebih-lebih lagi jika bekerja di negeri yang berlainan atau di Singapura atau berbeza swasta dan kerajaan. Ini menghadkan waktu cuti bersama keluarga.


11.  Sebahagiannya ada yang selesa melakukan aktiviti keluarga serta bermusafir pada hari cuti Sabtu dan Ahad, dengan mengambil rukhsah (keringanan) tanpa terikat dengan kewajiban solat Jumaat. Mazhab Syafi'i mensyaratkan musafir dimulakan sebelum Subuh untuk membolehkan solat Zohor menggantikan solat Jumaat.


12.  Ada yang kata, cuti hari Jumaat akan menyebabkan kurang individu culas solat Jumaat. Ada juga pandangan bahawa, komitmen individu untuk hadir solat Jumaat lebih besar semasa berada di pejabat, berbanding jika mereka berehat di rumah pada hari cuti. Wallahua'lam.