Buntut timur, demonstrasi barat?

Tidak berapa lama dahulu, apabila suatu perhimpunan diadakan di Kuala Lumpur, ada pihak yang merungut bahawa demonstrasi jalanan adalah "budaya barat".  Ini kerana, kata mereka yang tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, demonstrasi lazimnya ada elemen kekasaran yang tidak secucuk dengan "budaya timur" kita yang kononnya halus sifatnya itu.

Jadi tidaklah hairan kenapa perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan baru-baru ini mengundang banyak kritikan (dan tindakan) yang serius dari pihak tertentu, termasuk golongan pemimpin dan kelompok lain dalam masyarakat Malaysia.  Kritikan yang dilemparkan terhadap penganjur dan ribuan penyokong BERSIH 3.0 menjadi begitu lantang lebih-lebih lagi setelah perhimpunan itu berakhir dengan keganasan yang menimpa pihak tertentu.

Malah sejurus selepas BERSIH 3.0 diadakan, Majlis Fatwa Negara telahpun mengeluarkan fatwanya bahawa adalah "haram" bagi golongan Muslim menyertai apa yang dianggap sebagai perhimpunan "haram", perhimpunan yang kononnya tidak mendatangkan manfaat kepada umum, mencetuskan kekacauan dan merosak harta awam, memporak-perandakan Ummah dan juga bertujuan mengguling pemerintahan yang sahih melalui demonstrasi.

Nampaknya bukan sahaja perhimpunan dan demonstrasi seperti BERSIH 3.0 tidak sehaluan dengan "budaya timur" kita, ianya juga bercanggahan dengan Islam (dari sudut pandangan Majlis Fatwa tersebut dan kelompok lain di Malaysia).

Tapi jika dilihat apa yang telah berlaku sejak BERSIH 3.0 itu, nampaknya bukan semua demonstrasi dianggap "haram" atau tidak secucuk dengan "budaya timur" Kita.  Sekurang-kurangnya "kesepian" dari segi teguran atau kritikan daripada pihak berkuasa dan kelompok pemimpin agama seolah-olah memberi isyarat bahawa, misalnya, berdemonstrasi di depan rumah pengerusi bersama BERSIH 3.0, S. Ambiga, adalah okay.
Gambar ini dipetik dari klip video Malaysiakini yang dimuat ke dalam Youtube.
Dalam kes ini, sekumpulan kecil bekas askar telah berdemonstrasi kerana memprotes terhadap Ambiga dan rakan-rakannya dalam BERSIH 3.0 kerana, mengikut pandangan mereka, perhimpunan yang dilancarkan pada 28 April 2012 itu mengaibkan imej negara di mata dunia.  Jadi askar ini merasakan menggoyang punggung mereka yang kedut itu adalah satu cara untuk memperbaiki imej negara yang terpalit itu - selain daripada kemungkinan usaha untuk mencipta rekod baru dalam Guinness Book of Records.

Implikasi daripada penggoyangan buntut ini ialah satu tanda tanya timbul sama ada demonstrasi buntut ini secucuk dengan "budaya timur" kita atau lebih penting lagi, selari dengan prinsip Islam - lebih-lebih lagi apabila pucuk pimpinan dan pemimpin agama nampaknya berdiam diri saja dalam hal ini.  Ini selain daripada hakikat bahawa ruang peribadi Ambiga telah dicabuli oleh pihak berkenaan.

Perkara ini dibangkitkan bukan bertujuan untuk mempertikaikan amalan berdemonstrasi dalam masyarakat.  Apa yang ingin ditekankan di sini ialah demonstrasi aman secara prinsipnya adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, satu amalan universal yang tiada timur-baratnya.  Yang membezakan satu demonstrasi dengan demonstrasi lain ialah peradaban yang diamalkan oleh pihak demonstran.

Lagipun, kebanyakan perbuatan dan tindakan tidak tamadun atau biadap itu juga bersifat universal.  Ianya tidak dimonopoli oleh barat maupun timur.  Beberapa contoh tindakan yang diambil oleh segolongan rakyat di masa kebelakangan ini menunjukkan perbuatan kesat dan kasar itu boleh wujud dalam "masyarakat timur" seperti Malaysia.

Apakah "timurnya" perbuatan, misalnya, menghantar kek bercorak tahi atau menghantar keranda simbolik kepada seorang pemimpin negeri semata-mata kerana kelompok berkenaan memprotes terhadap apa yang dianggap sebagai ketidakadilan?  Tidakkah lebih bermanfaat dan bertamadun jika protes itu dibuat dalam bentuk, misalnya, petisyen atau demonstrasi aman di depan jabatan pemimpin itu?  Atau berdiskusi dan berdebat antara pihak yang bercanggahan.

Apakah "timurnya" perbuatan segelintir manusia menyiarkan video lucah secara terang-terangan semata-mata untuk tujuan politik mereka?  Adakah perbuatan "penayang porno" Ini lebih bermoral tinggi jika dibandingkan dengan pasangan yang ada dalam video lucah itu?  Adakah ini satu nilai yang perlu dibanggakan oleh generasi muda dan kanak-kanak?

Apakah "timurnya", kalau tidakpun Islamnya, perbuatan media arus perdana menabur fitnah terhadap pemimpin politik tertentu, lebih-lebih lagi jika pemimpin itu tidak diberi ruang dan peluang untuk menjawab fitnah itu atau membela dirinya?  Tidakkah etika profesion dalam dunia kewartawanan mengharuskan hak menjawab bagi pihak yang merasakan dirinya dicemuh atau dikritik?

Apakah "timurnya" perbuatan memberi burger kepada Ambiga (gambar kanan) ketika umum tahu bahawa daging lembu adalah "haram" bagi seorang penganut Hindu?  Tidakkah ini mirip perbuatan memberi daging khinzir kepada seorang Muslim?

Adakah perbuatan membaling benda yang merbahaya seperti batu ke dalam satu kawasan ceramah politik atau mengasari orang yang menghadiri ceramah hingga menyebabkan kecederaan satu tindakan yang berhemah tinggi warga timur?  Tidakkah lebih bertamadun jika perbezaan pendapat itu diadakan dalam bentuk debat dan ceramah secara aman?

Sekurang-kurangnya amalan berdebat dan berbincang boleh menaikkan taraf keintelektualan dalam arena politik khususnya dan masyarakat amnya.

Apakah "timurnya" perbuatan seorang menteri besar pada suatu ketika dahulu yang menunjukkan isyarat tangan yang lucah semata-mata kerana dia tidak setuju dengan pendirian pihak lawannya?  Adakah ini satu tabiat yang mencerminkan "kehalusan" budaya timur?

Insiden yang dialami oleh masyarakat Malaysia masakini dan lalu menunjukkan wujudnya faktor kuasa yang bermain dalam kancah politik dan budaya.  Dengan kata lain, budaya lazimnya ditakrif oleh mereka yang mempunyai kedudukan kuasa (politik) dalam masyarakat yang akhirnya menentukan apa yang "positif" dan apa yang "sebaliknya" dalam "budaya timur" kita ini.

Penakrifan sesuatu amalan dan ciri budaya sepatutnya berlandaskan nilai dan prinsip yang universal dan bukannya dalam ruang lingkup sempit yang hanya melayani kehendak dan kepentingan politik golongan berkenaan.  Keadilan sudah tentunya salah satu nilai yang perlu disanjungi.

Jadi, apakah perlu kita berasa terkejut apabila, contohnya, tarian poco-poco diharamkan dengan begitu pantas manakala pemimpin agama berpeluk tubuh bila berhadapan dengan gejala rasuah yang merasuk masyarakat kita masakini?  Atau, apabila mereka berdiam diri terhadap dakwaan BERSIH 3.0 bahawa wujudnya ketidak-bersihan prosedur pilihanraya setakat ini?

Seperti askar yang menunjukkan buntut mereka di mata dunia, perbuatan membelakangi amalan dan nilai universal yang murni tidak akan dapat menaikkan taraf masyarakat kita sebagai masyarakat yang bertamadun lagi demokratik.

*Dr Mustafa K Anuar ialah seorang pemerhati politik dan budaya.

No comments: