PMQT: Had Kelayakan E-Hailing Naik Kepada 800 Liter Sebulan – PM Anwar

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 4 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Had BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi sektor e-hailing di negara ini kepada pemandu yang layak dinaikkan sehingga 800 liter sebulan ketimbang 600 liter sebelum ini, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara ini juga bermakna jarak minimum juga ditambah kepada 5,000 kilometer (km) tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.

“Untuk (bulan) Oktober, (pemandu bagi BUDI95) e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter. Berapa (jumlah pemandu) yang dapat? 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 4 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

“(Tetapi) ada lagi rakan-rakan, anak-anak kita dari (sektor) e-hailing yang merasakan (kuota yang diterima itu) masih belum cukup.

“Kalau betul ada rekod dan keperluan, maka kerajaan, saya nak umumkan di sini, bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada 800 liter sebulan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 dan tindakan diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya golongan pemandu teksi lapangan terbang, pemandu e-hailing dan pengguna bot sungai berhubung kelayakan mereka di bawah BUDI95.

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) bertanya mengenai kemajuan bulan pertama pelaksanaan Program Penyasaran Subsidi RON95 pada 4 November 2025. Foto YuoTube Anwar Ibrahim

Menjawab soalan asal Syerleena, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan sebanyak 98 liter saja daripada 300 liter yang diberikan kepada individu layak digunakan oleh mereka bagi bulan Oktober.

“Apakah 300 liter mencukupi? Kalau kita lihat purata penggunaan bulan Oktober, purata jumlah liter ialah 98 liter saja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan.

“Yang berbelanja lebih daripada 300 liter, 0.7 peratus termasuk orang berulang-alik (ke kampung),” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying turun padang melakukan pemantauan BUDI MADANI95 di Butterworth pada 28 September 2025. Foto Kementerian Kewangan

Mengenai pengecualian pemberian subsidi RON95 kepada golongan T15, Perdana Menteri berkata, perkara itu hanya boleh dilaksanakan selepas sistem Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang kini digunakan pakai kerajaan, dinaiktaraf menjadi lebih mantap.

Katanya, kerajaan melihat pengecualian itu boleh dilaksanakan kepada mereka yang benar-benar mempunyai pendapatan tinggi ataupun menggunakan kenderaan mewah.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini kerajaan meneruskan dahulu pelaksanaan program BUDI95 dengan sistem sedia ada.

Orang ramai menunjukkan isyarat bagus semasa mengisi petrol RON95 bersubsidi menerusi insiatif BUDI MADANI RON95 di Kota Bharu pada 30 September 2025. Foto Bernama

“Jadi sekarang ini, pandangan kita, kita jalankan ini dulu dan kalau ada keperluan di masa akan datang, yang mana sistem itu lebih mantap, maka boleh kita kenakan tetapi bagi yang benar-benar tinggi ataupun kenderaan betul-betul mewah,” katanya.




No comments: