Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Bangsa tidak berjaya jika tidak hargai sejarah sendiri

Er Teck Hwa | Sep 06, 2011

Tragedi Bukit Kepong bukan hanya sekadar membuktikan siapa benar atau siapa salah semata-mata. Peristiwa telah pun berlaku, sejarah telah merekodkan tragedi ini. Lebih daripada itu, Bukit Kepong menuntut perhatian masyarakat betapa tapak warisan sejarah kemerdekaan Negara ini telah dibiarkan sepi dan terbiar tanpa perhatian sesiapa.

Menyelusuri tapak Rumah Pasung Bukit Kepong tersebut kita akan dapat melihat warisan sejarah ini menjadi usang. Sejak dilanda tragedi Banjir Besar tahun 2006, tidak kelihatan tanda-tanda usaha pemuliharaan serius terhadap tapak warisan ini. Bahkan, terdapat perancangan untuk membaikpulih tapak warisan sejarah ini di dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9). Tetapi, entah mengapa perancangan itu telah tidak menjadi kenyataan.

Walaupun saya tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, namun saya amat menyedari kepentingan warisan bersejarah Negara kepada tatapan generasi akan datang. Atas keinsafan tersebut maka saya telah mengadakan lawatan ke tapak tesebut dua minggu selepas Bencana Johor 2011 dan membuat pertanyaan mengenai isu pembaikpulihan di dalam Sesi Perbahasan di Dewan Rakyat berhubung perkara ini pada bulan Mac. Malah Timbalan Menteri secara sinis mengatakan beliau tidak menyediakan jawapan lisan sambil tertawa. (Rujuk kepada DR 11.03.15 Mukasurat 38 dan DR 11.03.21 Mukasurat 142)

Jawapan bertulis yang diberikan oleh pihak Timbalan Menteri adalah isu ini bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi sebaliknya merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Persoalan, adakah Jabatan Warisan Negara terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri?

Di manakah keseriusan kita mempertahankan khazanah warisan sejarah Negara? Atau kita hanya menjadi jaguh retorik yang menjerit mengalunkan lagu perjuangan hanya untuk kepentingan politik sendiri sahaja? Cukuplah bersandiwara. Jangan jadikan nasib Balai Muzium ini seperti sebiji bola yang boleh ditendang kepada sesiapa sahaja. Tindakan pemuliharaan perlu dilakukan segera.

Jika di Eropah, kawasan-kawasan warisan Sejarah ini akan dipelihara dan dipulihara agar generasi akan datang dapat melihat sendiri monument atau bangunan bersejarah tersebut sama ada untuk membuat kajian ataupun sekadar menziarahi. Malahan, terdapat satu Istana di Cornwall (Tintagel Castle), United Kingdom yang dijaga rapi sebagai tapak warisan sejarah King Arthur walaupun kisah King Arthur ini masih menjadi perdebatan sama ada ia benar-benar berlaku ataupun lipur lara masyarakat.

Di Malaysia, sebuah Negara yang telah mengecapi erti Kemerdekaan selama 54 tahun, aspek pemuliharaan monumen atau tapak bersejarah sering tidak mendapat tempat di hati Pemerintah. Tidak diangkat sebagai tapak warisan Negara. Contoh popular adalah kompleks Penjara Pudu yang telah menjadi mangsa kerakusan kapitalis tanpa pembelaan yang sewajarnya daripada pihak terbabit. Akhirnya kini, Penjara Pudu akan hanya tinggal dalam teks-teks sejarah sahaja.

Pemerintah hari ini dan Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi melalui Jabatan Warisan Negara perlu lebih serius dalam memulihara tapak bersejarah Bukit Kepong ini. Sangat menyedihkan dan malang sekali tatkala kita hebat berbahas di laman maya, di kedai kopi mengenai siapa benar atau siapa salah semasa tragedi Bukit Kepong tetapi monumen dan segala khazanah bersejarah yang tersimpan di Balai Muzium Bukit Kepong tersebut terus terbiar tanpa pembelaan sewajarnya.

Polemik dan perdebatan siapa benar dan siapa salah ini tidak akan berkesudahan, tetapi nasib Balai Muzium Bukit Kepong ini dan khazanah berharga Kemerdekaan Negara di dalamnya akan terus menjadi mangsa kealpaan dan sikap lalai kita.

Andainya tiada usaha pemuliharaan tapak ini, kemungkinan satu masa nanti anak cucu kita akan hanya mengingati cerita Bukit Kepong melalui penulisan buku ataupun filem Jins Shamsudin sahaja.

Dan apalah yang dapat anak cucu kita nanti untuk melakukan kajian sejarah terhadap peristiwa ini melainkan hanya melalui teks-teks dan gambar-gambar sahaja. Akhirnya, sejarah Negara tidak dapat diperkayakan, yang tidak bersalah tidak dapat diperjuangkan dan Negara kehilangan satu sumber kekayaan sejarah kebangkitan rakyat menentang penjajah Inggeris. Hayati petikan kata-kata ini "Bangsa yang tidak menghargai sejarah sendiri, ia tidak akan menjadi bangsa yang berjaya".

*Kenyataan media oleh Er Teck Hwa (gambar kiri) selaku ahli parlimen Bakri-DAP.

No comments: