Pihak berkuasa jejak 2,000 etnik Rohingya sertai himpunan tabligh



Lebih 2,000 etnik Rohingya dilaporkan menghadiri himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lepas. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa kini berusaha menjejaki kira-kira 2,000 lelaki Rohingya yang menghadiri perhimpunan jemaah tabligh yang menyebabkan peningkatan besar dalam kes koronavirus di seluruh Asia Tenggara, kata sumber kepada Reuters.
Lebih 100,000 etnik Rohingya menetap di Malaysia selepas diusir dari Myanmar, namun mereka masih dianggap pendatang tanpa izin.
Status pelarian membuatkan ramai antara mereka keberatan untuk menjalani ujian saringan koronavirus walaupun mereka menunjukkan gejala, kata sumber dalam komuniti Rohingya.
Usaha kerajaan mengesan mereka berdepan cabaran berikutan etnik itu tinggal tanpa dokumen sah dan menjauhkan diri daripada pihak berkuasa.
Perhimpunan jemaah tabligh di Masjlid Sri Petaling bulan lalu dihadiri kira-kira 16,000 orang, termasuk etnik Rohingya.
1,500 orang Islam dari seluruh Asia turut menghadiri himpunan itu.
Hampir 600 kes Covid-19 di Asia Tenggara dikaitkan dengan himpunan itu, termasuk 513 kes di Malaysia, 61 di Brunei, 22 di Kemboja, sekurang-kurangnya 5 di Singapura dan 2 di Thailand.
Setakat ini Malaysia mencatat 900 kes positif Covid-19.
Pihak berkuasa kini berusaha menjejak peserta himpunan, tetapi setakat ini masih gagal mengesan 4,000 yang hadir.
“Peserta ini datang dari seluruh negara, sukar untuk kami menjejaki mereka. Ramai yang takut untuk mengaku mereka hadir dalam himpunan itu, bimbang mereka berdepan masalah dengan pihak berkuasa.”

No comments: