PKR Lancar Konvensyen Pilihan Raya Ahad Ini



PETALING JAYA 14 JUN : Parti Keadilan Rakyat (PKR) buat julung kalinya akan menganjurkan konvensyen khusus sempena Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan di Pusat Konvesnyen Shah Alam (SACC), hujung minggu ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Azmin Ali berkata, konvensyen ini diadakan untuk melancarkan kempen dan tema kempen PKR untuk pilihan raya umum yang dijangka berlangsung dalam masa terhampir.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Azmin memberitahu tema kempen PKR untuk pilihan raya kali ini ialah "Demi Rakyat".

" Kita berharap konvensyen kali ini akan memberi penekanan kepada penjenamaan kempen yang lebih kuat sebagai tanda perancangan dan pelaksaan kempen Keadilan yang lebih bersedia berbanding parti-parti lawan kita," ujar beliau.

Konvensyen yang bakal menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara itu dijangka dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan.

Kehadiran mereka adalah untuk sama-sama melancarkan kempen dan tema kempen Keadilan untuk pilihan raya umum.

Dalam pada itu menurut Azmin, logo tangan masih dikekalkan sebagai simbol untuk rakyat menggunakan tangan mereka membawa perubahan dalam PRU akan datang.

Manakala kempen secara online juga telah dimulakan bermula hari ini di www.demirakyat.org.

" Akhinya Keadilan akan menghadapi pilihan raya ini dengan rasa tawaduk, semangat yang kental kerana kita sedar impak besarnya kepada negara di mana rakyat meletakkan harapan yang cukup besar supaya satu perubahan secara total dapat disempurnakan melalui pilihan raya akan datang,"kata Azmin lagi.

No comments: