Deklarasi Klang Bantah Pembinaan Loji Nuklear



PELABUHAN KLANG 3 APRIL: Pakatan Rakyat hari ini mengambil insiatif membantah rancangan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional membina loji nuklear di negeri Selangor dengan mengeluarkan deklarasi Klang.

Diketuai oleh Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, lebih 50 para demonstran berkumpul di jeti Pulau Ketam yang hari ini dikawal ketat oleh lebih 100 anggota polis bagi menghalang protes anti nuklear berkenaan.

"Kami, rakyat Malaysia yang hari ini berkumpul di Klang, mendesak Kerajaan Pusat membatalkan rancangan pembinaan loji nuklear di negeri ini khususnya di Klang. Kami percaya loji nuklear tidak selamat seperti di Fukushima, Jepun dan memberi impak kepada kesihatan rakyat adalah serius.

"Kami cadang kerajaan beri fokus kepada tenaga boleh baru untuk tampung keperluan tenaga negara dan kami tak percaya propaganda kerajaan Pusat bahawa tenaga nuklear adalah bersih, efisien dan selamat. Dan akhir kami minta kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak membenarkan pembinaan loji di Selangor," terang Charles, membaca deklarasi itu dihadapan wakil media.

Menurut Charles lagi, pembinaan loji tersebut bukan satu rahsia lagi, dan beliau bimbang kerajaan BN yang terkenal dengan ketirisan ini hanya akan membazirkan lagi wang rakyat.

Rancangan kerajaan sekarang ialah pada tahun 2021 dan 2022 ialah untuk bina loji nuklear di Malaysia. dan loji itu termasuk dalam program ekonomi kita.

"Kosnya RM 22 Billion, tapi ikut masa, mungkin naik ke RM 50 Billion," kata Charles lagi.

Protes ini dipercayai dapat mengumpul lebih ramai demonstran tetapi tindakan dan kehadiran ramai anggota polis menyebabkan orang ramai tidak dapat menyertai
perhimpunan ini.

Sejak awal pagi lagi, sekatan dilakukan di jalan masuk Jeti ini manakala mereka ingin melaluinya disoal serta digalakkan polis untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Malah Charles bersama yang lain turut dihalau sebanyak dua kali oleh polis sebelum mereka berkumpul di sebuah Dewan milik Majlis Perbandaran Klang untuk meneruskan protes.

Charles turut menganggap perkara itu sebagai memalukan kerana hak rakyat untuk bersuara dinafikan.

"Rakyat tak diberi peluang hak berhimpun secara aman. Walaupun ia menjadi hak yang diberi Perlembagaan Malaysia tapi Polis Di Raja Malaysia yang sekarang ini seperti Raja Malaysia.

"Ini merupakan sesuatu yang memalukan. Kalau (loji nuklear) ada masalah, pejabat polis kena, anak-anak mereka kena. Jadi mereka patut bersama-sama kita dan bukan menentang hak kita," tambahnya lagi.

No comments: