Tuesday, September 9, 2014

PasMa perlu ‘melangkah walak’


Forum pertama Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor malam tadi tidak membariskan panel yang ditunggu-tunggu.


oleh: amirulmukminin

Husam Musa yang diharap mewakili kelompok Naib Presiden PAS menarik diri manakala ustaz Ahmad Awang mewakili kelompok ulama berada di luar negara. Panel yang hadir ialah Ir Phahrolradzi, Dr Aziz Bari dan Mujahid Yusof Rawa.

Sedikit kekecewaan apabila Phahrolradzi yang sepatutnya berucap lebih keras sebagai presiden PasMa tidak melakukannya. PasMa diharapkan kritikal terhadap komen-komen Hadi Awang yang keras menghentam presiden PKR Dr Wan Azizah sehingga ke tahap penghinaan.

Sebaliknya Phahrol lebih menekankan usaha penerangan kepada ahli PAS mengenai konflik semasa. Pada umumnya ahli PAS telah maklum mengenai konflik dan mahu melihat jalan penyelesaian. Menerangkan konflik tidak membantu apa-apa.

Kepala yang membuat konflik ialah Presiden Hadi Awang. PasMa harus muncul dengan kata dua kepada puak-puak unity government (UG) dalam PAS. Hadi juga perlu diingatkan agar mematuhi keputusan Muktamar yang lalu, mahukan pengukuhan PAS bersama Pakatan Rakyat.

Tindakan Hadi kebelakangan ini seolah-olah mahu Pakatan memecat PAS. Serangan yang dilakukannya tidak ubah seperti seorang ulama Umno menghina PKR. Memang ahli PAS tidak mahu meninggalkan Pakatan tetapi jika HADI dan kelompok ustaz muda yang menasihatinya mengambil keputusan keluar Pakatan maka tentulah seluruh ahli PAS akan keluar kerana walak.

Jawapan Phahrol bahawa beliau akan bertemu presiden jika diberi peluang bukanlah sesuatu yang mahu didengar hadirin. Usaha itu sama sahaja dengan cadangan pertemuan ketua-ketua pemuda Pakatan bersama Hadi, Anwar dan Guan Eng. Hanya Anwar dan Guan Eng yang akan melayan idea itu, sebaliknya tidak akan disambut Hadi.

Ia sama seperti idea seorang hadirin forum yang inginkan pertemuan empat mata Hadi-Anwar. Pertemuan itu sudah pun berlaku di hotel Kuala Ibai pada 4 Ogos lalu. Dalam pertemuan selama setengah jam tersebut Anwar hampir tidak diberi peluang untuk bercakap.

Hadi menghentam Anwar sebagai punca kekacauan di Malaysia, penyebab Melayu berpecah dan sebagainya. Selepas 20 minit pertemuan itu berakhir dan disambung dengan perbualan biasa Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution dan Mustafa Ali sebelum bersurai.

Hadi benci kepada Anwar sehingga ke tahap beliau tidak mahu bertentang muka dengan Anwar dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan. Hanya Mat Sabu diwakilkan untuk berbincang yang kemudiannya semua keputusan disetujui, diveto Hadi.

Dalam keadaan ini, jika PasMa jujur ingin menyelamatkan PAS daripada meninggalkan Pakatan maka usaha perlu digerakkan bagi merehatkan kepimpinan Hadi. Hadi mesti didesak pencen segera sebelum pilihan raya umum ke 14. Jawatannya boleh dipangku oleh Mat Sabu.

Jika Hadi tidak lagi memimpin maka sekutunya seperti Mustafa Ali, Dr Zuhdi, Tantawi boleh ditertibkan. Mereka boleh diindoktrinasi agar menjadi pro Pakatan. Bukankah almarhum Ustaz Fadzil Noor dulu melakukan tindakan sama.

Pada 1999, dalam muktamar PAS, kumpulan ulama diketuai almarhum Haron Taib begitu bersungguh-sungguh menolak Anwar. Namun Fadzil tetap dengan pendirian bertahaluf siyasi bersama Anwar dan DAP.

Golongan yang menentang diindoktrinasikan. Suara mereka semakin perlahan apabila ulama-ulama yang menentang itu kemudiannya menjadi exco Terengganu. Malah boleh ditunjuk hari ini, barisan pemimpin yang menentang itu telah berada di kedudukan tinggi dalam PAS hasil kejayaan kerjasama Pakatan.

PasMa tidak mempunyai pilihan lain selain berusaha merehatkan kepimpinan Hadi sebelum tuan guru itu mengisytiharkan PAS keluar Pakatan. Bagaimanakah Hadi ingin terus memimpin PAS dalam Pakatan jika beliau tidak akan berceramah sepentas bersama Anwar selepas ini dan tidak akan menghadiri mesyuarat bersama pemimpin Pakatan?

Inilah realiti yang perlu ditangani. Sekiranya jawapan Mujahid terhadap pertanyaan seorang peserta, bagaimanakah ingin menyatukan semula puak UG dan puak pro Pakatan, lalu dijawab Mujahid UG adalah penyatuan politik dengan BN dalam bentuk kerjasama ekonomi, menyelesaikan masalah negara dll, maka PasMa tidak akan ke mana-mana.

UG memang wujud dan bukan mainan seperti difahami Mujahid. Keinginkan Hadi membawa PAS keluar Pakatan juga realiti bukannya fantasi seperti yang diterangkan Phahrolradzi.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers