PEMILIHAN PKR: KOPERASI UNTUK SEMUA AHLI MELIBATKAN DIRI TANPA BEREBUT JAWATAN


 | August 12, 2018
Calon timbalan presiden PKR Rafizi berkata, beliau lebih berminat mengemudi koperasi milik ahli PKR sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya.
Image result for rafizi ramliRafizi juga berkata, jika PH, khususnya PKR, tidak bekerja dari sekarang menarik undi orang Melayu, gabungan itu akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.
 Calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli berkata tidak seperti orang lain, beliau tidak berminat menjadi seorang menteri walaupun memenangi jawatan itu dalam pemilihan parti itu kali ini.
Sebaliknya kata Rafizi, beliau lebih berminat mengemudi koperasi milik ahli PKR sesuai dengan kepakaran yang dimilikinya.
“Saya tidak minat jawatan menteri, saya tak minat masuk (pejabat) kena ‘clock in’, jalan salah kena tegur, saya minta kalau jadi timbalan presiden, saya lebih berminat untuk usahakan sebuah koperasi PKR dan ia sesuai dengan latar belakang saya dalam bidang pengurusan koporat.
“Dengan adanya koperasi PKR, selepas ini tidak ada lagi ahli berebut-rebut jawatan, nak jadi ketua kampung macam orang Umno ke orang PAS ke. Nak hidup senang kita sama-sama berniaga, kami latih.
“Siapa kata kalau jadi orang politik tidak boleh kaya kecuali makan duit kerajaan. PKR akan buktikan kalau lantik saya (sebagai timbalan presiden), saya buat koperasi la,” katanya dalam program jelajah Debat Reformasi 20 Tahun peringkat Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.
Bekas Ahli Parlimen Pandan dan penyandang jawatan naib presiden PKR itu bakal berdepan penyandang timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pertandingan yang dianggap kritikal dalam penentuan hala tuju masa depan parti itu.
Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, jika Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, tidak bekerja dari sekarang dalam menarik undi Melayu, kemungkinan besar gabungan itu akan tumbang pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.
“Sokongan Melayu kepada PH dalam pilihan raya lepas adalah kurang berbanding PAS dan Umno. Kalau PAS dan Umno pinang meminang satu lawan satu dengan PH dalam pilihan raya umum ke-15, dan dalam keadaan kita abaikan akar umbi dan tidak sensitif dengan permintaan rakyat, kita boleh kalah,” katanya, selain menambah PH perlu mengelak budaya Umno menawarkan jawatan kepada ahli kerana ia akan memakan diri.
Siri jelajah Debat Reformasi 20 Tahun diadakan sempena pemilihan PKR bulan depan bagi mengerakkan agenda reformasi mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.





No comments: