Buat anak Tok Guru: PKR khianat, hukum PAS tanding kerusi PKR dalam PRU 13 macam mana?

Oleh : Amirulmikminin


Tidak sampai 24 jam Presiden PKR Dr Wan Azizah memutuskan langkah untuk berbaik-baik dengan PAS melalui tindakan parti itu memberi laluan PAS bertanding di kerusi Pengkalan Kubor, PKR diserang lagi oleh puak ulama PAS.

Kali ini anak Mursyidul Am, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menuduh PKR secara terbuka sebagai pengkhianat dan menikam PAS dari belakang berhubung keturut sertaan dua Adun PAS Saari Sungip dan Hasnul Baharuddin menyokong Dr Wan Azizah, 6 Ogos lalu.

“Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan PAS dalam (Pakatan Rakyat) apabila menerima pengkhianatan dua ADUN PAS dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

“Sebagaimana dua ADUN itu memutuskan wala' dan kesetiaan kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan setiakawan dengan PAS,” katanya.

Begitu mudah seorang AJK PAS Pusat menuduh PKR sebagai pengkhianat. Rasanya Nik Abduh kuat ingatan dan ingat tindakan PAS menurunkan calon di beberapa kerusi DUN pada pilihan raya umum ke 13 lalu. Adakah tindakan itu bagi Nik Abduh sebagai bukan pengkhianatan?

Dalam perbincangan antara Setiausaha Agung PKR dan PAS, diputuskan kerusi-kerusi yang bertindih tersebut ditandingi oleh calon PKR. Bagaimanapun PAS pada saat akhir sehari sebelum tarikh penamaan calon telah mengeluarkan watikah untuk calonnya bertanding.

Dalam peraturan SPR dua individu sahaja yang boleh menandatangani surat watikah untuk bertanding pilihan raya. Sama ada Setiausaha Agung Mustafa Ali atau Presiden Hadi Awang.

Kesannya, akibat pertandingan sesama sendiri itu, keenam-enam kerusi kalah kepada BN. Kekalahan yang paling menyakitkan hati adalah di Kota Damansara dan Sungai Acheh apabila jumlah undi PKR dan PAS jika dicampurkan mengatasi jumlah undi yang diperolehi calon BN.

Oleh kerana dalam PAS banyak ustaz maka sehingga ke hari ini tindakan mereka meletakkan calon di DUN yang telah dipersetujui ditandingi PKR dianggap bukan pengkhianatan. Begitu juga dengan ahli PAS yang berdegil berkempen agar penyokong PAS mengundi calon PAS sahaja tidak diambil tindakan.

Lebih menonjol lagi Presiden Hadi Awang tidak memohon maaf kerana menuduh seorang calon PKR di Terengganu menjual pil kuda sebagai alasan menolak kelayakan calon tersebut bertanding .

Manakala hujah Nik Abduh, bahawa Hadi mengambil keputusan tidak menarik keluar PAS dari Pakatan tetapi hanya tidak lagi berunding dengan parti komponen yang lain menunjukkan tolak ansur selepas dikhianati, adalah sesuatu yang mengarut.

Sebelum pertemuan Hadi - Anwar pada 4 Ogos yang berakhir dengan Anwar dihentam oleh Hadi, Presiden PAS itu telah terbang bertemu Lim Guan Eng. Agenda Hadi jelas agar Guan Eng menggunakan pengaruhnya menghalang Khalid Ibrahim daripada disingkirkan dari kerusi MB Selangor.

Guan Eng menolak cadangan itu kerana Adun DAP di Selangor telah menolak Khalid dan DAP Pusat tidak akan bersekongkol dengan PAS menerima Khalid.

Itulah sebab sebenarnya PAS tidak lagi berunding dengan PKR dan DAP ketika mengemukakan tiga nama kepada sultan. PAS merajuk kerana PKR dan DAP tidak menerima keputusan PAS menyokong Khalid sehingga tamat penggal biar pun rakyat Selangor akan dibebankan dengan kenaikan tarif air dan lebih banyak lebuh raya bertol.

Para perwakilan ke Muktamar PAS ke 60 di Johor sepatutnya faham dengan pemikiran ustaz muda PAS lewat tuduhan Nik Abduh ini. Iaitu, PAS selepas ini mungkin akan menekan rakan komponennya untuk memastikan apa yang mereka hajati berhasil.

Demi menyelamatkan Pakatan, Perwakilan PAS wajib memberi kecaman keras ke atas Hadi dan ustaz muda yang tidak faham politik itu agar mereka tidak lagi membuat onar jika ingin terus bekerjasama dengan Pakatan pada masa depan.

Sekiranya sikap PAS dan pemimpin pro UG ini berterusan menjelang PRU ke 14 maka akan sangat sukar untuk parti-parti dalam Pakatan membahagi-bahagikan kerusi. PAS pasti akan meminta bahagian kerusi terbesar kerana ingin memastikan masa depannya tidak binasa jika meninggalkan Pakatan selepas itu.

Malah Umno boleh menggunakan isu Hudud untuk menaikkan pertelagahan dalaman Pakatan ke tahap yang lebih parah. Sekiranya perwakilan muktamar mahu mengekalkan pemimpin Hadi, Mustafa, Tantawi dan yang sealiran dengannya, lambat laun PAS pasti akan dipecat dari Pakatan kerana gabungan itu akan sangat mudah untuk dihuru harakan oleh agen-agen BN.

Politik keras dan cara lama seperti amalan Hadi, Mustafa dan beberapa pemimpin lain tidak sesuai dengan gabungan Pakatan, kecualilah mereka direhatkan dan diganti dengan kepimpinan yang lebih toleran.

No comments: