Thursday, June 23, 2011

PR Bimbang Program 6P Bawa Mudarat Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR 23 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyifatkan program pengampunan dan pemutihan pendatang tanpa izin yang bermula 11 Julai ini seperti 'melantik perompak menjaga bank' ekoran agen-agen yang dilantik untuk melaksanakan tugas itu dilihat mencurigakan dan meragukan.

Menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, keadaan ini dikhuatiri boleh memberi ruang kepada agen lantikan tersebut mengambil kesempatan untuk kepentingan tertentu.

"saya telah difahamkan bahawa antara agen-agen pendaftar ini ialah dari agen pekerja asing sendiri yang dilantik sebagai agen pendaftar dalam proses pemutihan 6P ini termasuk pertubuhan majikan yang dilantik sebagai agen,"kata Mahfuz.

"Agen-agen seperti inilah yang akan mengambil kesempatan untuk memutihkan mangsa-mangsa PATI, agen ini yang membawa masuk dan agen inilah yang akan memutihkan sedangkan pendatang yang dibawa masuk ini tidak melalui proses pemeriksaan kesihatan, pendatang ini mungkin juga ada rekod-rekod jenayah di negara asal mereka. Ini yang saya katakan kementerian cuba untuk mangkayakan agen-agen lantikan ini,"tambah Mahfuz lagi pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya juga difahamkan agen ini bukan sahaja memberi pengampunan dan menjalankan pemutihan kepada pendatang tanpa izin (PATI) yang ada di Malaysia, malah PATI yang berada di sempadan Malaysia yang bercita-cita mahu masuk ke dalam negara ini diberi ruang berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, pengampunan dan pemutihan berkenaan bertujuan untuk mengurangkan bilangan mereka di negara ini.

Program yang dinamakan '6P iaitu pendaftaran, pemutěhan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran akan mengambil masa enam bulan untuk dilaksanakan.

Ia akan dilaksana melalui gerakan pendaftaran merangkumi pengambilan biometrik semua pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Program itu bertujuan mengumpul data mengenai pendatang asing tanpa izin di negara ini seperti, di mana mereka bekerja, dengan siapa dan berapa gaji yang diterima serta beberapa maklumat lain yang diharap dapat membantu ke arah mengatasi isu sosial dan jenayah yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu.

Muhyiddin berkata proses pendaftaran itu juga bertujuan mengenal pasti keperluan guna tenaga industri dan sektor tertentu di negara ini, dan untuk itu, kerajaan telah mengarahkan semua kementerian yang mengetuai sektor perladangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan serta sub sektor di bawahnya, mengumpul fakta berhubung jumlah guna tenaga yang diperlukan supaya keperluan itu dapat dipenuhi setelah sesi pendaftaran selesai.

"Saya bersetuju proses pemutihan ini dibuat tetapi ianya perlu melalui prosedur yang betul dan perlu ada pengawasan yang cekap dan NGO-NGO yang terlibat seperti Migrant Care seumpamanya harus dilantik supaya mereka ini memastikan bentuk perdagangan manusia ini tidak terus berlaku," tegas Mahfuz.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat kira-kira 1.9 juta pekerja asing yang didaftarkan di negara ini.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers