PH mesti jadi macam lebah, bukan semut


OIeh Fakhrurrazi Rashid
(Koordinator Program Research for Social Advancement (REFSA))
Perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin secara terbuka memberitahu media tentang surat yang beliau tulis untuk memohon maaf kepada Dr Mahathir Mohamad atas pembentukan kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN).

Perdana menteri juga turut menagih ‘restu’ Dr Mahathir untuk  menyokong jemaah menteri PN.

Tindakan perdana menteri kelapan ini memberi satu mesej atau isyarat yang salah kepada gabungan PN dan rakyat.
Ia bertentangan dengan konteks ucapan ‘rayuan untuk rakyat Malaysia’ pada 2 Mac 2020 yang memohon rakyat memaafkan dan menghapuskan status pengkhianat kepada dirinya.
Muhyiddin hanya memikirkan ‘survival’ politik untuk mendapat sokongan ‘tuan’ politiknya, Dr Mahathir – bukan rakyat.
Ada beberapa perkara yang boleh kita lihat.

Pertama, ini merupakan pendekatan lembut Muhyiddin untuk meredakan ketegangan menjelang pemilihan Bersatu pada April ini.

Kedua, Muhyiddin berhadapan dengan cabaran untuk mengekalkan Bersatu di bawah kuasanya untuk terus menjadi perdana menteri.

Kedudukan beliau agak goyah apabila UMNO agak vokal mempersoalkan pengagihan menteri kabinet yang tidak menguntungkan mereka.

Bersatu sebenarnya telah tewas kepada UMNO, PAS hanya berdiam diri untuk mendapatkan kuasa dan GPS hanya mengambil kesempatan untuk menang pilihan raya negeri akan datang.

Ia sebenarnya membuktikan sokongan PN masih lemah dan boleh berubah-ubah sekiranya ‘langkah’ politik baharu bermula.

Bagi mengekang kejatuhan PN, Muhyiddin boleh sahaja menawarkan posisi ‘Menteri Mentor’ kepada Dr Mahathir untuk bersama dalam kerajaan seperti Lee Kuan Yew di Singapura. Perkara ini tidak mustahil memandangkan majoriti dalam PN menyokong Dr Mahathir dari awal.

Sekiranya Dr Mahathir menang pemilihan parti, adakah Bersatu akan terus bersama PN atau kembali kepada PH?

Kebarangkalian untuk Bersatu kembali ke pangkuan PH agak sukar apabila Bersatu menerima kemasukan 10 orang ahli parlimen yang dibuang dan keluar PKR selepas ‘Langkah Sheraton’. Kemasukan mereka tidak ditolak pemimpin Bersatu. Ini akan meningkatkan sentimen menentang Anwar Ibrahim lebih kuat dalam Bersatu dan PH.

Blok Muhyiddin mempunyai kelebihan untuk menawarkan sesuatu kepada Bersatu atas kapasiti sebagai seorang pemimpin kerajaan berbanding Dr Mahathir. Logiknya, apa manfaat Bersatu keluar daripada PN sedangkan kuasa di tangan mereka?

Sekiranya tiada jalan penyelesaian antara Dr Mahathir dan Muhyiddin, kemungkinan Bersatu akan dibubarkan dan pemimpin mereka akan masuk UMNO semula. Ini bukan satu perkara pelik.

Ahli politik Melayu sering berpatah balik kepada UMNO. Apabila Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996, Tengku Razaleigh Hamzah dan majoriti ahli Semangat 46 menyertai UMNO semula.

‘Langkah Sheraton’ sepatutnya memberi pelajaran besar kepada PH tentang satu perkara: “kejujuran memerintah tanpa percaturan politik struktural akhirnya akan membawa kepada kejatuhan sebuah kerajaan di tangan pengkhianat”.

Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako dalam karyanya, Budak Beca, mengulas tentang perbezaan kerja semut dan lebah. Semut digambarkan sebagai haiwan yang bekerja keras dan rajin, tetapi semut memikul semua perkara baik dan kotor sebagai makanan mereka (batu, tahi, dan pasir).

Berbeza pula dengan lebah yang memilih kualiti bunga yang baik, menghasilkan madu secara bersama yang membawa manfaat kepada anak lebah, dibuat makanan serta ubatan buat manusia. Kerja-kerja lebah ini membawa kebaikan berbanding semut.

PH dilihat terlalu bekerja kuat seperti semut selama 22 bulan memerintah sehingga mengangkut semua perkara baik buruk dalam pentadbiran. Bekas menteri kabinet PH sebenarnya berkelayakan, tetapi atas sebab gagal membaca kelicikan politik dan menafikan realiti, mereka terus dikalahkan dengan pengkhianatan yang terancang.

Apa buktinya?

Selepas PN menjadi kerajaan, semua propaganda perkauman dan agama menekan kerajaan PH seolah-olah tidak wujud lagi. Kali ini, PH pula akan terperangkap dalam rangka politik identiti sekiranya tidak berhati-hati mengkritik lawannya.

Kelemahan PH juga amat terserlah apabila beberapa parti komponen tidak mengukuhkan sahsiah politik sehingga satu dua pemimpin dapat melangkaui prinsip gabungan parti atas kapasiti individu.

Meskipun golongan pengkhianat telah keluar parti PKR, Amanah dan DAP, ini belum memberi jaminan bahawa tiada lagi siri pengkhinatan yang boleh berlaku selepas ini.

Maka, rejuvenasi PH perlu berlaku, cara kerja perlu seperti ‘lebah’ dan bijak bermain politik. PH kini perlu mencari strategi ketika kabinet PN masih rapuh dan bergerak lima hingga enam langkah ke hadapan untuk memperkukuhkan lagi dasar perjuangan yang dimulakan oleh Dr Mahathir dan Anwar.

Barisan Nasional akan kembali dan mempunyai kelebihan pada pilihan raya umum akan datang. Namun, disebabkan pengkhinatan ‘Langkah Sheraton’, masyarakat telah mula sedar terhadap niat jahat mereka, daripada Kelptokrasi kepada pengkhianat negara.

UMNO dan PAS akan kalah lebih teruk jika kerajaan PN tidak berjaya menzahirkan dasar untuk kebaikan rakyat. PH akan lebih parah sekiranya masih termenung dan tidak bangkit merencana percaturan akan datang. – 14 Mac, 2020. 

*Artikel ini kali pertama disiarkan di The Malaysian Insight



No comments: